SHAH ALAM - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengemukakan pelbagai hujah dalam mempertahankan diri mereka bagi merebut jawatan itu semasa debat yang berlangsung pada Rabu.
Debat yang dianjurkan Sinar Harian melalui program Berani Semuka itu menunjukkan bahawa masing-masing mempunyai cadangan tersendiri yang perlu ditonjolkan untuk menjadi pemimpin kedua parti itu.
Menurut Rafizi, PKR memerlukan timbalan yang lebih tangkas, pantas, kreatif dan agresif dalam berkempen bukan hanya melaksanakan apa yang dinyatakan oleh Presiden semata-mata atau sekadar mengikut di belakang sambil menyatakan kesetiaan.
Selain itu, menurut beliau, seorang timbalan presiden juga harus berada di barisan paling hadapan dalam isu-isu melibatkan rakyat.
"Menjadi masalah ialah kalau kita ada seorang pengurus yang baik dalam satu pasukan boleh sepak misalnya tapi pertahanan, penyerang atau pemain tengah tidak cekap, ia tidak akan menang.
"Kita kena yakinkan rakyat PKR lebih layak untuk memimpin rakyat kerana 63 peratus pengundi tidak pasti parti manakah yang akan mereka pilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” ujar Rafizi.
Selain itu, menurut Saifuddin, seorang timbalan presiden tidak seharusnya membina empayar politik sendiri dan masalah besar akan berlaku apabila pemimpin kedua parti melakukan perkara tersebut.
Katanya, individu yang memegang memegang jawatan itu haruslah memiliki sifat bekerja sebagai satu pasukan bukannya berhasrat membina empayar politik peribadi seperti mana yang berlaku sebelum ini.
Selain itu,Saifuddin memberi jaminan dirinya akan terus kekal berjuang dalam parti meskipun ditakdirkan kalah dalam perebutan jawatan nombor dua PKR itu nanti.
"Ini kerana semua pihak perlu menerima hakikat asas dalam amalan demokrasi,” katanya.
Berkenaan isu khemah besar katanya, sebarang kerjasama dengan parti-parti politik lain tidak pernah dibincangkan sepertimana digembar-gemburkan.
Selain itu, pada Khamis juga akan berlangsungnya satu Debat Perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC) pada jam 9 malam.
Debat tersebut mempunyai tiga bahagian utama iaitu berkaitan isu permasalahan syarikat minyak dan gas, berhubung 'Masa Depan Malaysia' merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara serta sesi soal jawab pada pusingan akhir.
Debat tersebut dapat disaksikan secara siaran langsung melalui saluran media Astro Awani, Sinar Harian, Sin Chew Daily dan Malaysia Gazette.
Ramai memberikan respon positif terhadap budaya debat antara ahli politik ini dan ia disifatkan sebagai budaya yang mampu mematangkan demokrasi dalam negara.
Ia juga dikatakan merupakan budaya sihat dalam memberikan pendedahan kepada rakyat mengenai sesuatu isu yang hangat dibincangkan masyarakat.