PENYERANG PJ City, Khyril Muhymeen Zambri menyifatkan gol pada minit-minit akhir yang berjaya menafikan kemenangan Kedah Darul Aman adalah hasil semangat juang The Phoenix yang enggan tewas buat kali ketiga.
Dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Selasa, Kedah terpaksa berpuas hati dengan satu mata meskipun telah mendahului tiga gol sebelum Khyril akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-83.
Pemain berusia 35 tahun itu menganggap PJ City berjaya membuktikan jentera serangan mereka masih berbisa untuk menjaringkan gol meskipun hanya menggunakan kudrat pemain tempatan.
Dan selepas dua kekalahan lalu, anak buah P Maniam itu berusaha keras untuk memastikan mereka tidak lagi tewas dan nyata usaha setiap pemain sehingga ke wisel penamat wajar dipuji.
"Kita sebenarnya agak bergelut apabila terkena dengan gol-gol mudah tetapi saya tetap percaya dengan rakan sepasukan dan tidak risau dengan keupayaan pemain.
"Kami di landasan yang betul, cuma kena kurangkan kesilapan individu dan dalam setiap perlawanan di bahagian serangan kami dapat menjaringkan gol walaupun dibarisi pemain tempatan.
"Semuanya daripada semangat pasukan di separuh masa pertama, saya cuma masuk di separuh masa kedua untuk bantu apa yang patut,” katanya.
Sementara itu, Penolong Jurulatih Kedah Darul Aman, Victor Andrag pula menyifatkan skuad Kenari kali ini tidak mempunyai karakter sebenar di atas padang menyebabkan pelawat sukar memperoleh kemenangan.
"Setiap perlawanan kita buat analisis, tapi benda sama juga berulang kali berlaku lagi.
Kami sebagai jurulatih mahu pemain-pemain mempunyai karakter sebenar untuk mereka berusaha sehingga wisel penamat.
"Kita rasa kita bukan beraksi seperti pasukan yang sebenar dalam tiga, empat perlawanan sebelum ini dan kita bermula baik di pra musim.
"Kita perlu dapatkan balik karakter yang sebenar untuk bangkit dan tidak mahu menuding jari kepada sesiapa, pasukan kena hadapinya juga,” katanya.
Selepas dua kali tewas dan seri 3-3 dengan PJ City, Kedah perlu segera mencari solusi terbaik untuk kembali bangkit dalam aksi seterusnya.