Bersedia hadapi Monsun Barat Daya

Iklan
Jabatan Meteorologi memaklumkan bahawa Monsun Barat Daya dijangka bermula Sabtu dan berterusan sehingga pertengahan September tahun ini. - Gambar hiasan

JABATAN Meteorologi memaklumkan bahawa Monsun Barat Daya dijangka bermula Sabtu dan berterusan sehingga pertengahan September tahun ini.

Bagi tempoh ini, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera stabil.

Iklan
Iklan

Ia juga akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan dan menyebabkan kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain serta menghasilkan taburan hujan yang rendah.

Dalam masa sama, hujan lebat serta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi serta boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Iklan

Memasuki fasa Monsun Barat Daya ini, beberapa aspek perlu dititikberatkan pihak berkuasa dan orang ramai, antaranya soal keselamatan dan kesihatan.

Ini kerana, memasuki fasa ini, kita akan berdepan musim panas yang panjang.

Iklan

Keadaan ini sedang dirasai pada masa sekarang.

Dalam aspek kesihatan, orang ramai dinasihatkan untuk banyak minum air kosong dan kurang melakukan aktiviti di kawasan terbuka disebabkan faktor cuaca.

Begitu juga dengan kes denggi yang mungkin meningkat kerana aedes akan bertindak lebih aktif menggigit mangsa ketika berada pada cuaca dan suhu yang tinggi.

Kekerapan nyamuk itu menggigit mangsa ketika cuaca panas akan meningkat sekali ganda kepada 10 orang sehari berbanding ketika musim hujan iaitu sekitar empat hingga lima orang sehari.

Selain itu, pembakaran terbuka perlu dielakkan bagi mengelakkan kebakaran hutan pada skala besar yang memberi kesan kepada keselamatan orang ramai.

Ia juga boleh menyebabkan berlakunya jerebu seperti yang dinyatakan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah pada Selasa.

Selain itu, gunakan air secara berhemah kerana taburan hujan yang sedikit dalam tempoh berkenaan memberi kesan kepada kolam takungan air.

Kesimpulannya, semua pihak perlu mengambil peranan masing-masing bagi mengharungi Monsun Barat Daya untuk tempoh lima bulan akan datang.