MALAYSIA menjuarai Kumpulan D Piala Thomas 2022 di Impact Arena di Bangkok selepas menewaskan Jepun 3-2 dalam perlawanan terakhir kumpulan.
Kemenangan itu sekali gus melunaskan dendam skuad negara ke atas kekalahan 1-4 ketika bertemu juara 2014 tersebut pada peringkat kumpulan edisi Aarhus di Denmark sebelum ini.
Kapten pasukan Aaron Chia dan pasangan beregunya Teo Ee Yi, mencuri tumpuan apabila berjaya memainkan peranan pada saat getir untuk menyumbang mata ketiga yang juga mata kemenangan Malaysia pada perlawanan keempat.
Aaron-Ee Yi yang diturunkan sebagai beregu kedua negara membuktikan kekuatan daya tahan apabila berjaya mengharungi 50 minit perlawanan penuh debaran bagi mengatasi pasangan Jepun, Akira Koga-Yuta Watanabe, 22-20, 21-17.
Sementara itu, Aaron gembira apabila mereka berjaya melakukan kejutan dengan mengalahkan Koga-Watanabe yang disifatkan mempunyai sedikit kelebihan di kertas.
Apa yang lebih menarik, menurut Aaron kehadiran Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky berhampiran gelanggang sememangnya menaikkan motivasi permainan mereka.
"Coach Rexy sentiasa mengingatkan mental kena kuat, jangan cepat putus asa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perlawanan.
Terdahulu, jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia memberi sinar harapan kepada negara apabila mudah menguasai perlawanan pertama berdepan Kento Momota.
Pemain nombor enam dunia itu jelas garang sejak awal permainan yang menyaksikan Momota ketinggalan lapan mata dalam set pertama sebelum Zii Jia menang 21-17.
Segalanya tidak menjadi buat pemain nombor dua dunia Momota apabila mengulangi kesilapan sama pada set seterusnya yang membolehkan Zii Jia meraih kemenangan 21-8.
Dalam pada itu, meskipun gembira dapat menyumbang mata sulung buat Malaysia, Zii Jia percaya pemain Jepun tersebut yang ketika ini bukan pada kondisi terbaiknya akan bangkit semula.
Selain itu, strategi Malaysia untuk menurunkan juara beregu lelaki Terbuka Jerman 2022 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sebagai beregu utama ternyata berhasil apabila mereka berjaya mengejutkan juara dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi bagi membolehkan Malaysia mendahului dua mata.
Beregu nombor 13 dunia Sze Fei-Nur Izzuddin mempamerkan aksi mengagumkan untuk akhirnya meraih kemenangan pertama mereka ke atas pasangan nombor empat dunia itu selepas tiga kali pertemuan sejak Terbuka Perancis 2017.
Sze Fei-Nur Izzuddin menang set pertama dengan perbezaan tipis 21-19 dan terus mengutip mata kedua negara dengan mencatatkan kemenangan 21-16 pada set kedua.
Pemain senior Liew Daren bagaimanapun gagal membawa momentum kemenangan Malaysia dalam permainannya apabila beliau membuka ruang untuk Jepun meraih satu mata, selepas kecundang straight set kepada pemenang Terbuka Perancis 2021 Kanta Tsuneyama, 16-21, 20-22.
Walaupun Malaysia telah memusnahkan harapan Jepun untuk mengungguli peringkat kumpulan susulan kejayaan Aaron-Ee Yi, Kento Nishimoto terus berjuang bagi menundukkan pemain muda negara Leong Jun Hao, 21-6, 19-21, 21-15, dan menyumbang mata kepada pasukannya.
Sementara itu dalam perlawanan Kumpulan D, England menamatkan kempen pada tempat ketiga selepas mengetepikan cabaran Amerika Syarikat 4-1.