SEBERANG JAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan 269 kompaun dengan jumlah nilai RM95,000 sepanjang operasi pemantauan harga di negeri bermula Januari hingga 30 April tahun ini.
Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, jumlah kompaun tersebut adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan iaitu 364 kes.
Menurutnya, antara kesalahan yang paling banyak dilakukan oleh peniaga adalah menjual dengan harga yang mahal, tiada tanda harga dan tidak menyelenggarakan alat penimbang.
"Kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dan Akta Timbang Sukat 1972 yang melibatkan antara kesalahan menjual dengan harga mahal dan tiada tanda harga. Kebanyakan kesalahan ini kita dapati berlaku di kedai runcit dan pasar basah.
"Sepanjang operasi dari awal tahun ini, 184 kes melibatkan kesalahan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan dengan jumlah kompaun RM55,400 dan 141 kes melibatkan kesalahan Akta Timbang Sukat 1972, dengan jumlah kompaun RM37,100," katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Rancak Aidilfitri di sini pada Khamis.
Katanya, dalam tempoh yang sama, sebanyak 19,666 pemeriksaan telah dijalankan oleh KPDNHEP Pulau Pinang di semua premis di negeri ini.
"Kita tidak akan memberi amaran sekiranya mendapati berlaku kesalahan ketika pemeriksaan dilakukan, sebaliknya kita terus mengambil tindakan seperti mengenakan kompaun.
"Oleh demikian, saya meminta kepada semua peniaga agar mengikut peraturan yang ditetapkan. Operasi harian akan terus dijalankan bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan tanpa berlaku penipuan ketika urusan jual beli," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Ridzuan berkata, sehingga kini, tiada aduan mengenai kenaikan harga ayam segar, sayur-sayuran dan minyak masak sawit diterima pihaknya.
"Aduan mengenai kenaikan harga beberapa barang kawalan antaranya ayam segar, sayur dan minyak masak sawit belum kita terima.
"Selain itu, tiada masalah bekalan barang keperluan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri diterima," katanya.