KUALA KANGSAR - Rakan kuliah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) tidak menyangka persahabatan lima rakan mereka yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora di sini, begitu kuat hingga membawa ke akhir hayat.
Dalam kejadian sekitar 12.52 malam Rabu itu, Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, meninggal dunia akibat rentung selepas kereta dinaiki terbakar.
Rakan mereka, Muhamad Hakimi Rosli, 22, berkata, kelima-lima mereka tinggal bersama di sebuah rumah sewa berhampiran universiti dan sering menghabiskan masa bersama melakukan pelbagai aktiviti dalam dan luar waktu kuliah.
"Mereka kawan serumah, memang selalu lepak sekali. Walaupun berbeza pengajian dan usia, mereka berlima boleh jadi rapat dan rakan baik.
"Tak sangka, persahabatan mereka dibawa sampai ke akhir hayat," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini pada Khamis.
Menurutnya, lima sahabat itu masing-masing mempunyai karakter diri yang saling melengkapi antara satu sama lain.
"Macam Hasnun, dia seorang yang bertanggungjawab dan rajin tolong kawan. Nasrun pula sangat ramah dan mudah bergaul dengan sesiapa sahaja.
"Iqbal sebelum ini pernah merancang untuk adakan aktiviti berbentuk percutian untuk pengajian, sayangnya hasrat itu tidak kesampaian," katanya.
Sewaktu mendapat tahu nahas berlaku, dia bersama rakan lain berharap semua mangsa selamat dan tidak mengalami kecederaan yang serius.
"Kami terkejut bila diberitahu, kelima-lima mereka semua dah tak ada," katanya.
Sebelum kejadian, lima sahabat itu menghabiskan masa bersama menaiki kereta yang disewa ke Ipoh memandangkan tiada sesi kelas pembelajaran pada Rabu.
Muhammad Nasrun dari Kuala Kubu Bharu, Selangor merupakan pelajar semester ketiga Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam; Ahmad Naim Najmi dari Terengganu pula pelajar semester satu Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dan Iqbal Hasnun dari Johor merupakan pelajar semester ketiga Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam.
Muhammad Nabil Haikal dari Batu Caves, Selangor semester ketiga Diploma Pentadbiran Perniagaan dan Ahmad Akmal dari Parit Buntar pelajar semester kelima Diploma Kaunseling Islami.
Sementara itu, Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi berkata, lima pelajar berkenaan sepatutnya menduduki peperiksaan semester yang dijadualkan hujung Mei ini.
Katanya, sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di universiti itu baru sahaja bermula pada Isnin selepas cuti Aidilfitri.
"USAS akan uruskan apa juga bantuan berkaitan jenazah. Jika urusan tidak sempat diselesaikan hari ini, USAS akan menanggung biaya perbelanjaan waris sepanjang menguruskan jenazah di Kuala Kangsar," katanya.
Dalam pada itu, polis telah menahan reman pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan hingga mengorbankan lima pelajar USAS.Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tahanan ke atas lelaki berusia 28 tahun itu dibuat bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BERITA SEMASA 12 MEI 2022
Suasana pilu menyelubungi ahli keluarga pelajar Universiti Sultan Azlan Shah, Iqbal Hasnun Halimi yang maut dalam nahas melibatkan kereta dan treler di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar, Perak malam tadi, lapor wartawan Sinar Harian, Nor Azura Md Amin.
Dalam kejadian sekitar jam 12.52 tengah malam itu, kesemua mangsa rentung selepas kereta dinaiki terbakar.
Mangsa dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.
Baca artikel penuh di sini: https://bit.ly/3Pit83u
Muzik: www.bensound.com
#SinarHarian #BeritaSemasa" />