BALING- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah mengambil masa lebih tiga jam untuk memindahkan seekor gajah liar jantan dikenali 'Awang Tanjung Nering' di Kampung Tanjung Nering, Kupang, di sini pada Khamis.
Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, gajah tersebut akan dihantar ke satu lokasi habitat asal setelah dilaporkan sesat berkeliaran sehingga mengganggu kawasan kebun penduduk sejak kira-kira dua minggu lalu.
Menurutnya, Perhilitan menggunakan khidmat dua ekor gajah denak betina yang didatangkan khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang bagi tujuan memindahkan Awang Tanjung Nering dalam operasi dilaksanakan pada Khamis.
"Sebelum ini, kita menerima aduan penduduk berhubung kerosakan tanaman di kebun pisang dan kelapa selain menimbulkan ketakutan orang ramai," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Difahamkan, Awang Tanjung Nering telah dikesan Isnin lalu dalam operasi mengesan dan menangkap gajah berusia lebih kurang 20 tahun dan seberat tiga tan itu dipercayai tersesat daripada kawanan gajah lain.
Menurutnya, operasi hari ini membabitkan pergerakan membawa keluar Awang Tanjung Nering dengan bantuan dua ekor gajah denak betina yang dikenali sebagai Kasturi dan Ceri, masuk ke dalam lori sebelum dihantar ke satu lokasi habitat asal.
"Operasi yang bermula pagi ini mengambil masa lebih tiga jam berjalan dengan lancar," katanya.
Sementara itu, penduduk kampung, Azmi Yaacob, 58, berkata, berasa lega apabila gajah liar tersebut akan dipindahkan dari kampung tersebut.
Menurutnya, pengalaman terserempak dengan gajah terbabit pada malam raya kedua amat mengejutkan kerana berada pada jarak lebih kurang tiga meter sahaja.
"Mujur ketika itu ada penduduk kampung muncul dan cuba halau membuatkannya beredar," katanya.