Takungan berkapasiti 500 juta liter air sehari dibina di Kelantan

Iklan
Tuan Ibrahim (kanan) menyampaikan duit raya kepada tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Khamis.

KOTA BHARU - Kelantan memerlukan sebanyak 500 juta liter air sehari (MLD) bagi menampung keperluan penduduk selain menyelesaikan masalah gangguan air di beberapa kawasan di negeri ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sehubungan itu berkata, sebuah kolam takungan akan dibina di tanah rizab seluas 400 hektar berhampiran Sungai Kelantan.

Menurutnya, pembinaan kolam takungan di Machang yang berkapasiti 500 MLD itu mampu memenuhi keperluan tersebut.

Iklan
Iklan

"Projek ini mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk siap pembinaannya.

"Air sungai yang diambil akan ditakungkan terlebih dulu sebelum dibekalkan kepada semua loji yang besar supaya kos rawatan menjadi lebih murah," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, projek tersebut turut merangkumi dua lagi komponen yang menelan belanja sebanyak RM1.3 bilion.

Beliau berkata, beberapa loji sedang dibangunkan termasuk di Semerak, Pasir Puteh dan ada juga loji baharu beroperasi termasuk di Kampung Telok di Kota Bharu, Teluk Mesira di Bachok, selain di Ketereh dan Gua Musang.

Iklan

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, KASA juga bercadang memanfaatkan air dari Tasik Tok Uban di Pasir Mas untuk membekalkan air kepada pengguna sekitar kawasan tersebut.

"Semalam kami buat mesyuarat 'task force' untuk membangunkan projek itu.

"Ia akan dibuat dalam dua fasa membabitkan 50 MLD dan ini adalah perancangan kami untuk jangka panjang," katanya.