Perginya permata akademik, Salleh Buang

Iklan
Allahyarham Salleh Buang

SHAH ALAM - Pada pagi 11 Mei 2022, negara dikejutkan dengan pemergian seorang pakar akademik dalam bidang undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang yang telah menghembuskan nafas terakhirnya di Alor Setar, Kedah.

Allahyarham merupakan anak kelahiran Johor dan setelah bersara, beliau berkhidmat sebagai ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta profesor undangan di Universiti Teknologi Malaysia Johor Baharu.

Iklan
Iklan

Allahyarham terkenal dengan penulisannya di dada-dada akhbar mengenai undang-undang yang ditulis dalam bahasa yang amat mudah untuk difahami.

Pemergian beliau dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya dalam satu hantaran di sebuah blog pada Khamis.

Iklan

"Semasa di MPI, saya mencadangkan kepada unit latihan MPI supaya membawa beliau (Salleh) sebagai penceramah untuk subjek media dan undang-undang yang sering kita anjurkan untuk para pengamal media.

"Dan selama 14 tahun sosok yang bernama Salleh Buang mengajar subjek media dan undang-undang untuk program-program latihan MPI. Kerana itu, apabila kita di MPI mendapat khabar duka, pemergiannya, kami di MPI sukar mempercayainya walhal kita tahu sejak waktu kebelakangan ini, keadaan Allahyarham sedikit uzur.

Iklan

"Tetapi kami reda dengan pemergiannya,” katanya dalam satu hantaran pada Khamis.

Semasa hayatnya, Allahyarham adalah seorang yang komited untuk menyebarkan ilmu dan pengetahuan mendalamnya mengenai undang-undang media kepada para wartawan.

Beliau terkenal dengan keperibadian yang baik kerana tidak pernah menolak untuk memberi ceramah apabila diundang.

Menurut Chamil, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada pihak MPI kerana Salleh merupakan seorang penceramah berstatus lima bintang.

"Sebagai penceramah, Allahyarham Datuk Salleh memang bijak untuk memahami kehendak para peserta. Beliau tahu bahawa undang-undang media adalah subjek yang membosankan kalau penyampainya tidak tahu untuk mengajar mata pelajaran ini dengan cara yang menyeronokkan.

"Justeru, ceramah-ceramahnya senantiasa dihiasi dengan jenaka dan lawak yang ada kaitannya dengan para peguam, para hakim dan pengamal media,” ujarnya.