Pengundi Gombak fail rayuan kebenaran saman terhadap Azmin

Iklan
Mohamed Azmin

PUTRAJAYA- Sepuluh pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak memfailkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan dalam cubaan untuk mengembalikan semula saman mereka terhadap Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari.

Peguam Yohendra Nadarajan apabila dihubungi mengesahkan notis usul untuk memohon kebenaran merayu telah difailkan dua hari lepas (10 Mei).

Iklan
Iklan

Pada 13 April, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam memutuskan memihak kepada Azmin dan membatalkan saman pengundi.

Dalam notis usul itu, pengundi mengemukakan sembilan soalan undang-undang untuk penghujahan dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Iklan

Di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, pemohon mesti meyakinkan mahkamah bahawa persoalan undang-undang adalah baharu, mempunyai kepentingan awam dan dibangkitkan buat kali pertama.

Antara persoalan itu termasuk sama ada tindakan untuk menipu atau melanggar kewajipan fidusiari boleh dikekalkan oleh pengundi terhadap Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri untuk representasi yang dibuat oleh ahli itu secara peribadi kepada pengundi.

Iklan

Pada 27 November 2020, 10 pengundi itu memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin, yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi tersebut antara lain memohon pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

Mereka menuntut ganti rugi teruk dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 12 Mac tahun lepas, Mohamed Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau mendakwa saman itu melanggar hak asasinya untuk kebebasan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 30 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Mohamed Azmin untuk membatalkan saman itu, mendorong beliau memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan yang kemudian memutuskan untuk memihak kepadanya dan membatalkan saman itu.- Bernama