SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menyita sebuah van persendirian selepas dikesan membawa murid sekolah tanpa permit yang sah.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kenderaan itu dikesan semasa pasukan penguatkuasa JPJ Jempol membuat rondaan sekitar Jalan Bahau-Rompin pada Khamis.
Iklan
Iklan
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, seramai 16 orang murid sekolah yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun berada dalam van tersebut.
"Pemandu van yang membawa pelajar sekolah sekitar Bahau ini telah dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan salahguna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 mengikut seksyen yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, kenderaannya juga disita bagi mengelak daripada melakukan kesalahan berterusan.
"Kami akan membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan bagi memastikan setiap kenderaan yang digunakan sebagai bas sekolah hendaklah dilesenkan secara sah dan mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
"Ibu bapa juga dinasihatkan agar memainkan peranan masing-masing dengan mendapatkan perkhidmatan bas sekolah yang mempunyai permit yang sah supaya keselamatan mereka lebih terjamin," katanya.