Mangsa banjir di Janda Baik akui trauma bila hujan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil dari kiri: Linda (kiri), Mariani dan Amir Akhmar.

BENTONG - Mangsa banjir di Kampung Cherengin Tengah dekat Janda Baik di sini, mengakui masih trauma dengan kejadian yang menimpa mereka pada Rabu.

Seramai 560 penduduk melibatkan 160 keluarga dari empat kampung iaitu Kampung Sum-Sum, Cheringin, Lampin dan Pulau Santap terjejas akibat banjir.

Iklan
Iklan

Penjual kuih, Linda Arshad, 40, berkata, ketika kejadian dia sedang sibuk mengemas barang jualan kira-kira jam 5.15 pagi sebelum terkejut melihat air deras di depan rumahnya.

"Memang tak sangka banjir berlaku dan sekarang bila hujan, saya jadi trauma," katanya ketika ditemui sempena program lawatan dan penyerahan bantuan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali di perpustakaan desa Janda Baik di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS), Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ir Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Sementara itu, kakaknya, Mariani, 50, yang berdepan dengan situasi sama pada Disember lalu turut mengakui masih terkejut dengan kejadian itu.

Iklan

"Air banjir masuk dalam rumah dan banyak barang rosak. Saya harap ada tindakan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini supaya tidak berulang lagi," katanya.

Dalam pada itu, Amir Akhmar Che Razali, 19, dari Kampung Sum Sum Hilir berkata, kejadian itu adalah kali pertama dilaluinya.

"Ketika kejadian kira-kira jam 5 pagi, kami sekeluarga sedang tidur dan sebaik sedar, air sudah masuk dalam rumah.

"Ketika itu, air sangat deras dan banyak barang elektrik dan rosak akibat ditenggelami banjir," katanya.