ALOR SETAR - Kedah Rubber City (KRC) akan dilengkapi dengan pembinaan jalan raya dua lorong bermula dari Pokok Sena ke daerah Padang Terap.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek bernilai RM600 juta itu diberikan keutamaan dan bakal disenaraikan dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Menurutnya, ia suatu keperluan bagi industri berikutan Kedah sedang membangunkan fasa pertama projek mega tersebut di daerah Padang Terap.
"Surat daripada kerajaan negeri berhubung perkara itu telah dihantar kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan pejabat Perdana Menteri pada minggu pertama Ramadan lalu.
"Ia susulan kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Kedah untuk merasmikan KRC pada Februari lalu, saya telah nyatakan permintaan itu dalam ucapan saya supaya kerajaan Persekutuan memberi peruntukan segera bagi membina jalan raya dua lorong bagi kedua-dua laluan,” katanya selepas sesi townhall mahasiswa bersama Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon di sini pada Khamis.
Muhammad Sanusi berkata, setakat ini jalan raya dua lorong sudah dibina daripada Langgar hingga ke pekan Pokok Sena sahaja, manakala selebihnya adalah satu lorong.
"Ada keperluan untuk kita bina dua lorong berikutan keadaan masa depan apabila KRC siap, perlukan sistem pengangkutan dan trafik lebih lancar ke kawasan industri, sebab itu kita minta dilaksanakan dua lorong,” katanya.
Menurutnya lagi, anggaran kos membina jalan tersebut yang mencecah RM600 juta adalah selepas KKR melakukan sendiri penilaian.
"Saya belum dapat jawapan bila projek akan dimulakan tetapi sewaktu perasmian KRC, Perdana Menteri bersetuju untuk ia disegerakan dan dimasukkan dalam Rolling Plan Ketiga (RMK12),” katanya lagi.
Tambah Muhammad Sanusi, projek berkenaan dijangka tidak akan mengambil masa yang lama untuk dimulakan susulan sudah pun mendapat ‘lampu hijau’.
"Kita sudah dapat persetujuan daripada Perdana Menteri ketika perasmian KRC, sekarang ini adalah proses dokumentasi dan penyediaan peruntukan bawah Rolling Plan Ketiga. Perdana Menteri mohon kerajaan negeri hantar surat kepada kerajaan, jadi saya hantarlah secara rasmi,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan Persekutuan telah menghantar senarai keutamaan projek negeri yang akan diberikan keutamaan dalam Rolling Plan Ketiga dan kerajaan negeri memutuskan terdapat 12 projek penting yang perlu dilaksanakan.
"Ada 12 projek yang kita mahu diberikan keutamaan dalam Rolling Plan itu. Kesemuanya adalah keutamaan dan keperluan termasuk pembinaan jalan raya dua lorong bermula dari Pokok Sena ke KRC.
"Jalan ni penting untuk logistik industri beroperasi dengan lancar selain penting untuk penduduk sekitar akibat pembangunan KRC. Kelak lori treler akan gunakan laluan itu termasuk penduduk, ia perlu diperbesarkan bagi elak kesesakan dan faktor keselamatan,” katanya.
Menurutnya, jalan berkenaan juga boleh menembusi kawasan Padang Sanai dan seterusnya hingga ke Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok.
"Saya harap KRC akan menjadi katalis baru bagi kawasan industri di Timur Kedah agar kita dapat bangunkan kawasan-kawasan sekitar yang masih ketinggalan,” katanya.
Pada 7 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan projek KRC yang bakal muncul sebagai taman perindustrian getah khusus mesra alam pertama di Malaysia yang dijangka mampu menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi negara, selain merancakkan ekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Kedah.