SEBANYAK 80 pasukan bakal menghangatkan saingan edisi sulung Piala Cabaran Milo 2022 yang akan berlangsung di JSA Arena, sebuah fasiliti sukan serba lengkap di Setia Alam hujung minggu ini.
Pengurus Pemasaran Milo, Kerwin Lim berkata, kerjasama dengan Akademi JSA itu sebagai usaha bagi memacu program bola sepak di peringkat akar umbi.
"Ini adalah pentas terbaik buat para pemain yang masih lagi berada di bangku sekolah untuk beraksi secara kompetitif sekali gus dapat mengasah bakat mereka.
"Malah, objektif penganjuran kejohanan ini adalah bertujuan melonjakkan keyakinan pemain cilik untuk bergelar pemain profesional selain menggalakkan mereka untuk aktif bersukan.
"Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Akademi Sukan JSA kali ini bagi menganjurkan kejohanan Piala Cabaran Milo buat julung kalinya tahun ini," katanya.
Antara pasukan yang dijangka mencuri tumpuan pada hujung minggu ini adalah pasukan TSS Selangor bimbingan Mohd Afiq Tahir yang optimis mampu muncul juara Piala Cabaran Milo ini.
"Pasukan kami telah bersedia sepenuhnya dan akan mempamerkan aksi bertenaga hujung minggu ini.
Saya percaya dengan bakat muda yang ada dalam pasukan serta yakin untuk pulang selaku juara," katanya.
Dalam pada itu, wakil dari Pulau Pinang, Penang Panthers turut melaungkan amaran awal betapa mereka mampu menjadi pencabar utama kejuaraan.
"Kami sangat yakin dengan kemampuan pasukan untuk mencipta kejutan.
Kami bukan sekadar pelengkap pasukan sebaliknya kami mampu mara lebih jauh untuk menempah slot ke Liga Juara-Juara Milo," kata pengurus Penang Panthers, Muhaizam Mokhtar.
Kejohanan edisi sulung itu dibahagikan kepada lima peringkat umur iaitu Bawah 8 tahun (B-8), B-10, B-12, B-14 dan B-17 dengan 12 pasukan terbaik bagi setiap kategori akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Remaja Milo.