'Dampingi rakyat, jangan kecewakan mereka'

Iklan
Keratan akhbar Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil dari kiri: Sivamurugan, Sara

SHAH ALAM - Ahli politik perlu mendampingi setiap kelompok akar umbi tanpa menunjukkan kepentingan parti dalam usaha menarik sokongan masyarakat untuk mengundi mereka.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, orang ramai hari ini kecewa dengan sikap ahli politik ekoran golongan itu yang masih 'sibuk' dengan hal politik berbanding isu rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Iklan
Iklan

"Dalam kelesuan politik hari ini, sejumlah 63 peratus pengundi itu kecewa dengan sikap ahli politik yang tidak mengutamakan isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, pengangguran dan kesejahteraan.

"Disebabkan generasi kini mudah mendapat informasi menerusi media sosial, maka ahli politik perlu memulihkan keyakinan dan kepercayaan mereka dengan menampakkan gaya kepimpinan berkarisma, berkredibiliti dan integriti.

Iklan

"Jika usaha mendepani isu rakyat dan membelakangkan kepentingan politik serta menampakkan usaha berterusan mendekati setiap kumpulan sasar, saya percaya akan ada perubahan dari segi angka tersebut," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa 63 peratus daripada pengundi di negara ini tidak mengetahui untuk memilih mana-mana parti dalam PRU15 nanti ekoran pengundi mengharapkan suatu pembaharuan dilakukan.

Iklan

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, kelompok pengundi pada hari ini tidak menunjukkan kesetiaan kepada politik kepartian berbanding generasi lama yang menunjukkan kesetiaan kepada sesuatu parti.

Katanya, golongan muda masa kini lebih gemar melihat kepada sesuatu isu sekali gus mempengaruhi pembabitan mereka dalam politik.

Sementara itu, penganalisis politik dan media sosial Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berpandangan, parti politik perlu merangka rancangan untuk menarik minat demografi baharu terutama kelompok Undi18.

"Pengundi muda mahukan muka segar, idea baharu dan calon yang bersih, berkebolehan, jujur serta bertanggungjawab. Mereka mahu parti politik yang mempunyai prinsip jelas dan idea besar namun realistik.

"Sokongan belia akan diraih dengan meletakkan calon yang mempunyai ciri-ciri dikehendaki dan peluang adalah lebih tinggi. Kajian mendapati pengundi muda semakin bijak dalam membuat penilaian terhadap maklumat yang disebar luas atau menular dalam media sosial yang bermotif politik," katanya.

Dalam pada itu, Sara berkata, isu akar umbi tetap menjadi perkara utama dan soal kebajikan rakyat harus diberi keutamaan oleh semua ahli politik.

"Jangan sekadar menjual manifesto dan mungkir janji kerana ia akan jadi satu lakaran hitam bagi pemimpin dan parti politik berkenaan.

"Raih sokongan orang Melayu terutama di kawasan luar bandar kerana sudah tentu memberi kelebihan undi kelompok itu selain dapat menentukan dominasi politik Melayu," katanya.