PASIR PUTEH - Seramai 40 petani mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM600,000 apabila padi diusahakan di kawasan bendang Tasek Pauh di sini gagal dituai selepas tanaman itu tumbang susulan cuaca tidak menentu dan tiupan angin kencang.
Dakwa mereka, situasi itu menyebabkan padi jenis Nuklear 303 dan Putra gagal dituai sekali gus menyebabkan pendapatan terjejas teruk.
Wakil petani, Shuhaimi Abdul Rashid, 54, berkata, selain pendapatan terjejas mereka turut berdepan dengan masalah modal untuk memulakan proses penanaman padi pada musim hadapan.
"Sebelum ini kami mampu meraih pendapatan RM3,000 hingga RM4,000 untuk satu hektar.
Namun kini berlaku sebaliknya apabila hanya meraih pendapatan antara RM200 dan RM300 untuk keluasan sama.
"Dengan kata lain, upah kerja-kerja mengetam padi pun tidak lepas," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Menurutnya, faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini iaitu hujan dan berangin turut menjadi penyumbang kepada masalah padi tumbang.
Shuhaimi berkata, dia dan seluruh petani berharap kerajaan dapat membantu meringankan beban mereka dengan memberikan sedikit bantuan bagi mengatasi masalah berkenaan.
Tambahnya, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sudah turun padang untuk membuat penelitian berkait dengan kerugian dialami petani.
Sementera itu, Mohd Khairul Azmi Yaso,34, berkata, kesemua padi yang diusahakan di atas tanah berkeluasan 1.2 hektar gagal dituai selepas tumbang dipukul angin kencang.
Katanya, ekoran itu dia mengalami kerugian lebih RM8,000 akibat masalah tersebut.
"Ini merupakan kerugian paling teruk dialami saya dan rakan-rakan selepas beberapa musim mengusahakan padi di sini," katanya.