KULAI - Seorang perunding hartanah maut selepas kereta dinaikinya hilang kawalan dan merempuh tiang lampu, di Jalan Lebuh Putra Utama di sini, semalam.
Ketua Polis Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, dalam kejadian jam 11.50 malam itu mangsa S Vadivaloo, 44, yang parah meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Iklan
Iklan
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa ketika itu memandu seorang diri kereta jenis Mercedes Benz dari arah Bandar Putra ke Skudai.
"Ketika sampai di tempat kejadian, dia dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandu dan terlanggar tembok pembahagi jalan sebelum merempuh tiang lampu yang berada di sebelah kiri bahu jalan," katanya di sini, hari ini.
Beng Yeow berkata, kenderaan mangsa kemudian terbabas di dalam kawasan semak di sebelah kanan bahu jalan arah sama.
"Kenderaan mewah berwarna hitam itu dilaporkan remuk di semua bahagian dan akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Senai untuk pemeriksaan," katanya.
Dalam pada itu, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan seramai lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Kulai.