Kes tembak di Bukit Bintang: Tiga rakan didakwa membunuh

Iklan
Tiga rakan, T Muniswaran, S Katharavello dan Mohd Zulbihar Ali Khan dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah hotel di Bukit Bintang, pada 3 Mei lalu.- Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di sebuah hotel di Bukit Bintang, pada minggu lepas.

T Muniswaran, 49; S Katharavello, 52; dan Mohd Zulbihar Ali Khan Kamaldin, 48, didakwa bersama-sama membunuh S Prabah, 49, di sebuah bilik di Hotel Capitol, Jalan Bulan, Off Jalan Bukit Bintang di sini jam 6.05 petang hingga 6.40 petang pada 3 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia dan tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Iklan

Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Phulrani Kaur, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang sejam selepas dia mendaftar masuk. - Bernama.