Tukang cat, pelajar perempuan rugi RM47,324 tertipu iklan kerja

Iklan

KANGAR - Seorang lelaki dan seorang pelajar perempuan mengalami kerugian berjumlah RM47,324 dalam dua kejadian berasingan setelah mereka terpedaya dengan tawaran kerja palsu dalam talian yang menjanjikan pendapatan serta pulangan lumayan baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Perlis, Superintendan Wan Aeidil Wan Abdullah berkata, mangsa pertama ialah seorang tukang cat berusia 23 tahun dari Arau yang mengalami kerugian RM39,196, manakala pelajar perempuan berusia 19 tahun itu pula mengalami kerugian RM8,128.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kedua-dua mereka ditipu selepas tertarik dengan tawaran kerja yang diiklankan di laman sosial Facebook, apabila diminta membuat pindahan wang ke beberapa akaun, kononnya termasuk bagi bayaran untuk membuat pembelian beberapa barangan untuk tujuan mendapat komisen.

"Polis sedang giat mengesan suspek dan kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Wan Aeidil berkata, berkata sejak Januari hingga April tahun ini, mangsa penipuan tawaran kerja di Perlis telah melibatkan kerugian berjumlah RM182,829 dan modus operandi yang sering digunakan suspek adalah mengiklankan tawaran kerja menerusi aplikasi Whatsapp, Instagram dan Facebook.

"Mangsa yang terpedaya akan menekan pantuan menggunakan logo platform e-dagang dan mendapat arahan membuat pembelian, namun bayaran pula biasanya dibuat menerusi akuan individu yang diberikan oleh suspek dan bukanya menerusi e-dagang,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, mangsa biasanya dijanjikan bayaran komisen dan pulangan bayaran ke atas pembelian yang dibuat, namun setelah pembelian dibuat, biasanya mangsa tidak menerima apa-apa bayaran yang telah dijanjikan sebelum ini. - Bernama