KUALA LUMPUR - Projek pembangunan berdekatan kolam takungan akan ditarik semula dan dihentikan serta-merta.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, tindakan mewartakan semua kolam takungan dan kawasan hijau sebagai kawasan yang tidak boleh disentuh sedang dilaksanakan.
Menurutnya, terdapat satu kolam takungan yang sebahagian kawasan tersebut telah diberi hak milik.
"Kita telah maklumkan bahawa semua yang terlibat dengan pembangunan di kolam takungan akan ditarik semula dan dihentikan serta-merta.
"Saya minta dihentikan serta-merta dan jika perlu kementerian akan ambil dan bayar semula wang yang telah dijelaskan," katanya mengulas perkembangan program tebatan banjir Kuala Lumpur pada Jumaat.
Beliau ditemui pada Majlis Amanat Menteri Wilayah Persekutuan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
Mengulas lanjut Shahidan berkata, isu banjir kilat di Kuala Lumpur menjadi keutamaan untuk diatasi kerana memberikan kesan besar.
"Mungkin di tempat lain banjir kilat tidak serius, hanya libatkan banjir satu ke dua jam tapi di Kuala Lumpur impaknya besar.
"Kesan banjir kilat walaupun setengah jam namun apabila ada satu kereta rosak akan menyebabkan kesesakan trafik teruk.
"Disebabkan itu, banjir kilat menjadi keutamaan untuk diatasi. Kabinet telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membelanjakan peruntukan sedia ada untuk selesaikan masalah ini," katanya.
Tambahnya, tiga lagi lokasi hotspot banjir kilat dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhan 28 lokasi.
"Lokasi ini akan ditempatkan anggota pemantau dan sukarelawan serta diletakkan pam air sebagai langkah sementara bagi atasi banjir kilat.
"Sepanjang sebulan ini, kakitangan DBKL terlibat gotong-royong pada setiap hari sebagai inisiatif atasi banjir kilat dan membersihkan Kuala Lumpur," katanya.