ALOR GAJAH - UMNO Bahagian Alor Gajah mencadangkan kepada parti itu supaya segera melantik Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka yang baharu.
Pemangkunya, Datuk Rospandi Leman berkata, langkah itu untuk mengukuhkan kepimpinan UMNO dan BN di peringkat bahagian serta negeri sekiranya Ketua Menteri adalah individu yang sama memegang kedua-dua jawatan tersebut.
Menurut Rospandi, ia akan memudahkan parti membuat keputusan dan persediaan gerak kerja untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) bagi kerusi parlimen sekiranya cadangan itu direalisasikan.
"Jawatankuasa UMNO Bahagian Alor Gajah juga berpendirian, fokus utama kepimpinan kerajaan negeri pada masa ini adalah untuk memulihkan semula pembangunan ekonomi negeri dan kehidupan rakyat selepas pandemik Covid-19.
"Bukan hal-hal yang tidak sepatutnya sehingga boleh merencatkan usaha dan perancangan kerjaan negeri," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Tambah Rospandi, UMNO bahagian itu menyatakan pendirian yang jelas dan tegas serta menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sulaiman yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu.
Katanya, pendirian bahagian itu selaras dengan aku janji yang dibuat oleh UMNO dan BN bahawa Sulaiman akan terus kekal dilantik sebagai Ketua Menteri jika parti terus diberikan mandat baharu.
"Sebarang cubaan menganggu gugat kepimpinannya sebagai Ketua Menteri, perbuatan untuk mengkhianati mandat besar yang telah diberikan oleh pengundi dan rakyat Melaka," katanya.