SLIM RIVER -"Ayah pernah bergurau kalau dia kemalangan untuk kali ketiga, mungkin dia akan pergi selamanya, tak sangka kenyataan itu benar-benar berlaku," kata Mohamad Khirul Azran, 25, anak kepada Abu Bakar Ahmad, 58, yang maut bersama anak lelakinya, Mohamad Khirul Afifi, 26, dalam satu rempuhan lori, semalam.
Kemalangan sekitar jam 7.15 malam di KM379.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Slim River itu berlaku, ketika kedua-dua mangsa sedang memeriksa kerosakan pada kenderaan dibawa di lorong kecemasan.
Ketika kejadian, kedua-duanya yang bekerja sebagai pemandu lori masing-masing membawa lori tangki muatan susu getah dalam perjalanan pulang ke Kedah.
Mohamad Khirul Azran berkata, ayahnya yang sudah 15 tahun bekerja sebagai pemandu lori pernah terlibat dalam dua kemalangan sekitar lima tahun lalu. Bagaimanapun menurutnya, ayahnya terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan meskipun lori dibawa rosak teruk.
"Mungkin sebab itu dia selalu ingatkan diri yang dia tak kan selamat kalau terbabit kemalangan lagi. Dia juga pernah cakap kepada kami adik-beradik, kalau boleh dia nak mati pun dengan lori juga.
"Pada mulanya saya anggap ia mengarut, tetapi sekarang gurauan itu betul-betul terjadi," katanya.