Lelaki elak pemeriksaan polis ditahan

Iklan
Aidi Sham

PORT DICKSON - Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Batu 1, Jalan Pantai di sini membawa padah apabila diberkas pada Jumaat.

Lebih malang lagi suspek berusia 19 tahun itu turut mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketika kejadian pada jam 1.15 pagi Jumaat, polis yang melakukan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) cuba menahan suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 untuk pemeriksaan.

"Bagaimanapun suspek bertindak melarikan diri dan melanggar salah seorang anggota sebelum terjatuh dan melanggar penghadang jalan.

Iklan

"Akibat kejadian itu, suspek cedera pada bahagian bahu dan kaki manakala anggota polis yang dilanggar cedera di kepala," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Aidi Sham, suspek dan anggota polis terbabit telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut.

Iklan

Ujarnya, siasatan awal mendapati suspek melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu.

"Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing juga negatif.

"Suspek direman tiga hari bermula hari ini (Jumaat) untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan," katanya.