KONTINJEN negara menambah pungutan pingat emas pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021 pada Jumaat, apabila skuad Wushu menghasilkan dua pingat emas dan satu pingat perak di Gimnasium Cau Giai, Hanoi, hari ini.
Atlet Wushu negara, Clement Ting Su Wei meraih pingat emas ke-10 negara dalam acara Changquan (lelaki) dengan Ting mencatatkan 9.70 mata bagi menewaskan pencabar-pencabar lain bagi acara berkenaan.
Kejayaan Clement Ting itu berjaya menyemarakkan semangat seorang lagi atlet Wushu negara, Tan Zhi Yan untuk meraih emas ke-11 negara dalam acara Taijiquan (lelaki).
Zhi Yan mencatatkan 9.71 mata dalam acara berkenaan bagi mengenepikan pencabar-pencabar lain.
Kecemerlangan atlet negara dalam sukan Wushu, diteruskan lagi apabila Calvin Lee Wai Leong meraih perak dalam acara Nandao (lelaki) apabila apabila mencatatkan 9.68 mata.
Ternyata debut ketiga-tiga atlet Wushu lelaki negara pada Sukan SEA kali ini tidak menghampakan apabila berjaya merangkul pingat emas dan sekali gus melangkaui jangkaan pihak pengurusan yang hanmya menyasarkan untuk memenangi satu pingat perak dan satu gangsa.
Bagaimanapun atlet Wushu wanita, Pang Pui Yee yang beraksi dalam acara Jianshu (wanita) gagal meraih pingat dalam acara berkenaan hari ini manakala Lee Jia Rong yang beraksi dalam acara Gunshu (wanita), perlu menunggu satu lagi acara esok (Sabtu), bagi mengetahui keputusan penuh acara yang disertainya.