SHAH ALAM - Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan takziah atas pemergian Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.
Beliau berkata, berita kematian Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan amat menyedihkan.
"Saya menerima perkhabaran pemergian Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan dengan rasa sangat sedih. Takziah saya ucapkan kepada keluarga dan orang tersayang Allahyarham serta seluruh rakyat UAE.
"Sesungguhnya, Allahyarham adalah seorang yang hebat yang meletakkan pencapaian UAE ke tahap lebih tinggi," katanya.
Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan dilaporkan meninggal dunia, pada Jumaat, 13 Mei.
Arab News melaporkan, Kementerian Hal Ehwal Presiden mengutuskan ucapan takziah kepada rakyat dan dunia Islam atas pemergian Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.
Kementerian mengumumkan 40 hari berkabung dengan bendera separuh tiang bermula Jumaat.