Penganalisis, ahli ekonomi terus yakin prospek ekonomi Malaysia

Iklan
Foto hiasan 123RF

KUALA LUMPUR - Penganalisis dan ahli ekonomi terus yakin dengan prospek ekonomi Malaysia, menunjukkan bahawa permintaan domestik dan sektor swasta akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada masa depan.

Ini berikutan pemulihan data pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2022 kepada lima peratus berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku pertama 2021, yang dilihat sebagai petunjuk optimis terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Iklan
Iklan

Pengarah Eksekutif Socio Economic Research Centre Malaysia (SERC), Lee Heng Guie berkata, ekonomi Malaysia berkembang di luar jangkaan oleh beberapa penganalisis ekonomi disokong oleh permintaan yang pulih dan pasaran buruh yang lebih kukuh.

"Ini angka yang baik. Pertumbuhan itu juga lebih baik daripada unjuran saya antara 4.6 peratus dan 4.8 peratus untuk suku tahun tersebut,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Beliau berkata, ekonomi Malaysia sedang menyesuaikan dengan keadaan ekonomi semasa dan suku kedua dipercayai lebih baik dengan angka hampir kepada enam peratus.

"Bagaimanapun, saya akan berhati-hati pada separuh kedua 2022 berikutan faktor seperti perang yang berterusan, kos perniagaan yang meningkat, inflasi yang tinggi, sekatan pergerakan yang ketat di China untuk membendung penularan COVID-19 serta gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan,” katanya.

Iklan

Lee berkata, asas masih utuh tetapi cabaran global mengehadkan prestasi pertumbuhan secara keseluruhan.

"Bagaimanapun, permintaan domestik masih akan memacu pertumbuhan pada suku tahun yang akan datang dan seterusnya,” katanya.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pembukaan semula ekonomi memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada ekonomi domestik berikutan isi rumah dan perusahaan lebih bebas dalam membuat urus niaga yang dapat meningkatkan KDNK.

"Dari pandangan kami, unjuran pertumbuhan KDNK antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus bagi 2022 adalah dalam jangkauan,” katanya kepada Bernama.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, KDNK suku pertama 2022 mencatatkan lebih tinggi daripada jangkaan dan sumber utama pertumbuhan adalah permintaan domestik iaitu penggunaan dan pelaburan.

Mohd Afzanizam berkata, pertumbuhan yang lebih tinggi iaitu lima peratus menjelaskan sebab kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas baru-baru ini oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Mengenai masa depan, katanya beliau mengunjurkan OPR akan meningkat lagi berikutan pemulihan menjadi lebih mampan.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Penyelidikan dan Strategi Perbendaharaan OCBC, Wellian Wiranto berkata, data KDNK yang kukuh sejajar dengan pendirian yang baru diterima pakai oleh BNM pada minggu ini.

"Ia tidak mengubah pemikiran kami bahawa ia masih boleh memilih untuk reda seketika pada mesyuarat pada Julai dan hanya naik semula pada September berdasarkan ikrarnya untuk mengetatkan dasar secara 'berhati-hati dan berperingkat',” katanya.

Secara keseluruhannya, katanya, permintaan domestik yang meningkat, dengan petunjuk bahawa pasaran buruh dan upah mencatatkan pemulihan, ternyata akan menyumbang kepada keputusan kenaikan kadar oleh BNM, terutamanya terhadap jangkaan bahawa inflasi teras asas dijangka meningkat kepada julat dua peratus hingga tiga peratus.

Pada pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2022 awal hari ini, Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menekankan kepentingan menentukur semula dasar monetari untuk mengelak keperluan mengambil pendekatan agresif dalam menaikkan kadar faedah. - Bernama