'Bukan tentang menang atau kalah tapi meneruskan momentum'

Iklan
Aksi Sze Fei-Nur Izzuddin ketika berdepan Satwiksairaj-Chirag pada perlawanan suku akhir Piala Thomas 2022 di Impact Arena Bangkok, pada Khamis. Foto: Bernama

"BUKAN tentang menang atau kalah tapi meneruskan momentum selepas menang peringkat kumpulan ke atas Jepun.”

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky berkata, demikian ketika menjelaskan keputusannya menurunkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk bermain sebagai beregu pertama dalam suku akhir menentang India, pada kejuaraan Piala Thomas 2022 di Impact Arena di sini malam tadi yang menyaksikan Malaysia tewas 2-3 dalam perlawanan tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, beregu nombor 13 dunia itu dipilih kerana mereka berjaya melaksanakan peranan dalam saat penting ketika diturunkan sebagai beregu pertama dalam saingan peringkat kumpulan berdepan Jepun, dengan menewaskan beregu nombor empat dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-19, 21-16, sekali gus membantu Malaysia meraih kemenangan 3-2 dan muncul juara Kumpulan D Rabu lepas.

Namun, juara Terbuka Jerman 2022 itu gagal memenuhi jangkaan dan dikalahkan 19-21, 15-21 oleh Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, justeru mencetus kebangkitan India yang ketinggalan 0-1 selepas tewas pada perlawanan pembukaan.

Iklan

"Saya bukan kata ia adalah betul atau salah, tetapi saya cuma mahu memanfaatkan momentum daripada kemenangan pasukan. Tetapi, akhirnya, realiti di atas gelanggang memberi kesan kepada prestasi pemain kita.

"Jika saya menurunkan Soh Wooi Yik, jika kita kalah ia masih sama bukan?,” ujar Rexy kepada pemberita Malaysia ketika ditemui di hotel penginapan pasukan negara pada Jumaat.

Iklan

Kejayaan Satwiksairaj-Chirag menyemarakkan semangat pasukan India untuk mengetepikan cabaran Malaysia dan seterusnya layak buat pertama kali ke separuh akhir Piala Thomas.

Jurulatih dari Indonesia itu bagaimanapun mengambil tanggungjawab atas kekalahan tersebut, menyatakan beliau yang memutuskan barisan pemain.

Namun, tegasnya, jika pemain negara menunjukkan semangat juang yang lebih tinggi, mereka mungkin mampu menewaskan India.

"Walaupun anda telah bersiap sedia dengan baik, anda akan tetap gagal jika tidak mempunyai semangat juang,” katanya

Rexy turut menafikan bahawa Malaysia memandang rendah cabaran India semalam dan berkata mereka adalah pasukan yang baik, terutama pemain perseorangan. - BERNAMA