KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu mengesan modus operandi terbaharu scammer yang menggunakan nama ketua polis negeri itu bagi tujuan penipuan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M. Zambri Mahmud berkata, taktik itu dibongkar selepas pihaknya mengesan satu notis tangkapan kononnya dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui aplikasi WhatApps.
"Pihak polis tidak pernah mengeluarkan apa-apa surat arahan untuk membuat tangkapan termasuk notis kehadiran suspek mahupun memo dalaman yang ditandatangani oleh Ketua Polis Terengganu.
"Notis itu dipercayai dilakukan oleh individu yang menyamar sebagai polis untuk diberikan kepada mangsa dan notis palsu tersebut dijadikan sebagai dokumen sebenar bagi tujuan penipuan dan ugutan untuk mendapatkan wang," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Menurutnya, notis palsu itu mengandungi butiran lengkap seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan, alamat serta nombor fail kes daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.
M. Zambri berkata, kaedah menyamar sebagai polis dan menggunakan notis tersebut untuk membuat tangkapan mampu menakut-nakutkan mangsa yang kononnya mereka akan ditangkap.
Sehubungan itu, pihaknya menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan modus operandi terbaharu scammer.
"Orang ramai diingatkan supaya merujuk kepada balai polis berdekatan jika menerima sebarang notis berbentuk sedemikian," katanya.
Katanya, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat ke CCID Response Centre di talian 03-26101559 dan 03-26101599 dari 8 pagi hingga 8 malam setiap hari. - Bernama