Pelaksanaan semula GST wajar tapi perlu ditambah baik

Iklan
Aira ketika program Wacana Sinar Edisi ke-344 bertajuk ‘#NajibVsAnwar Demi Rakyat atau Sandiwara Politik?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Jumaat. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) wajar, namun ia harus ditambah baik terutama dari segi tadbir urus dan juga ketelusan, kata Pengurus Kanan Unit Demokrasi dan Tadbir Urus Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari.

Katanya, ia berikutan cukai seumpama itu telah pun banyak dilakukan di kebanyakan negara luar, malah terbukti mampu memberikan pendapatan kepada kerajaan kemudian diagihkan semula kepada rakyat.

Iklan
Iklan

"Kita jangan lupa GST diperkenalkan ketika harga minyak jatuh, kemudian dividen yang banyak tidak dapat diberikan oleh pihak kerajaan. Sebab itu GST diperkenalkan.

"GST bukan sesuatu yang baru, banyak negara lain, negara maju telah memperkenalkan sistem percukaian mereka dan ia telah terbukti berkesan.

Iklan

"Justeru, pelaksanaan semula GST perlu ditambah baik terutama dari segi tadbir urus, dan juga ketelusan,” katanya pada program Wacana Sinar Edisi ke-344 bertajuk ‘#NajibVsAnwar Demi Rakyat atau Sandiwara Politik?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mana mendakwa rakyat akan lebih senang pada hari ini jika GST masih ada, sewaktu sesi Debat Perdana bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.

Iklan

Program yang dimoderatorkan Ismail Adnan itu turut menampilkan presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dan personaliti media sosial, Tai Zee How sebagai panel jemputan.

Mengulas lanjut Aira berkata, berbeza pula dengan pemikiran Anwar yang mana cukai tersebut tidak patut dikenakan ketika ini berikutan rakyat masih lagi berdepan dengan kesusahan.

"Jadi ini merupakan dua pemikiran berbeza. Pada saya agak positif yang mana kita boleh lihat ada dua pendekatan berbeza bagaimana untuk kita menaik taraf kehidupan rakyat,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, dia berkata, agak terlambat jika mahu berhujah sama ada janji pemansuhan GST itu satu populis ataupun sebaliknya, kerana apa yang lebih penting ialah satu perbahasan idea mengenai kenaikan harga barang dan kos sara hidup rakyat berdasarkan fakta dan polisi.

"Masalah perdebatan pemansuhan GST tersebut pada saya ia sesuatu populis semata-mata dan tidak bersandarkan kepada dasar dan juga fakta.

"Jadi, apa sebenarnya yang kita perlu perbetulkan? Kalau sistem GST itu bermasalah, kita nak mansuhkan atau nak betulkan sistem itu,” ujarnya.