KUALA LUMPUR - Isu pembayaran balik pinjaman pendidikan bukan sahaja diperdebatkan di negara ini malah, negara-negara lain turut berdepan masalah yang sama.
Selain mengambil inisiatif memperuntukkan sejumlah wang untuk disalurkan kepada peminjam (penuntut universiti dan kolej), pihak kerajaan juga komited mencari dan memilih mekanisme pembayaran semula pinjaman yang tidak membebankan para graduan.
Pakar ekonomi dan Pengasas Sistem Skim Pembiayan Pengajian Tinggi (HECS) dari Australia, Prof Bruce Chapman berkata, bagi mengatasi masalah tersebut Potongan Gaji Berjadual atau Income Contigent Loan (ICL) antara kaedah pembayaran semula pinjaman pendidikan yang terbaik untuk dilaksanakan.
"Kaedah yang dilakukan secara potongan gaji berjadual ini tidak membebankan peminjam kerana kadar peratus pembayaran semula pinjaman adalah mengikut jumlah pendapatan bulanan individu.
"Mekanisme ini lebih memudahkan pengurusan pembayaran semula pinjaman berbanding menetapkan jumlah tertentu tanpa mengambil kira gaji bulanan peminjam," katanya pada taklimat khas bersama media di Pejabat Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Penyelidik Sektor Pendidikan di Institut Pengajian Fiskal (IFS), Prof Lorraine Dearden.
Mengulas lanjut, Chapman memberitahu, ICL mula dilaksanakan di Australia sekitar 1989 sebelum kaedah tersebut dipraktikkan di negara-negara lain.
Antaranya ialah, New Zealand pada 1991 dan diikuti Amerika Syarikat (1994), England (1998) serta Ethiopia dan Hungary, masing-masing pada 2001.
Ini termasuklah, Thailand (2006), Korea Selatan (2011), Belanda (2017) dan Jepun pada 2017.
Mengambil contoh di Australia, Chapman menjelaskan graduan yang sudah bekerja lazimnya sukar mengelakkan diri daripada membayar semula pinjaman pendidikan.
"Kutipan bayaran semula pinjaman pendidikan di sana adalah dikendalikan oleh Pusat Kutipan Cukai Australia," jelasnya.
Ini bermakna, sekiranya Pusat Kutipan Cukai Australia mengenalpasti golongan peminjam sudah bekerja berdasarkan hasil pendapatan diperoleh maka mereka tiada alasan untuk mengelak daripada membayar hutang pinjaman pendidikan mengikut kadar yang ditetapkan.
Menyentuh mengenai sebahagian besar graduan yang cenderung membayar pinjaman kenderaan atau rumah berbanding pinjaman pendidikan, Dearden menyifatkan kebiasaanya individu bertanggungjawab melunaskan jumlah pinjaman yang besar.
"Sebagai contoh, mereka akan mengutamakan pinjaman kereta terlebih kerana jumlah bulanannya lebih tinggi daripada kadar bayaran semula pinjaman pendidikan.
"Kesannya, bayaran pinjaman pendidikan akan tertangguh. Atas faktor itu sesebuah negara termasuk Malaysia disarankan melaksanakan sistem pembayaran ini (pinjaman pendidikan) secara sistematik dan saya fikir ICL kaedah terbaik," ujarnya.
Sebelum ini PTPTN pernah mengumumkan akan melaksanakan kaedah bayaran balik pinjaman secara potongan gaji berjadual bermula tahun ini mengikut paras gaji.
Bagaimanapun, kaedah itu ditangguhkan selepas dikatakan menerima pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.