Piala Thomas 2022: India, Indonesia tentukan juara

Iklan
Pemain India meraikan kejayaan selepas Prannoy memenangi perlawanan menentang Gemke pada perlawanan separuh akhir Piala Thomas di Impact Arena Bangkok. - Foto Bernama

INDIA semakin hampir mencipta sejarah untuk menjulang Piala Thomas buat pertama kalinya setelah meraih kemenangan 3-2 ke atas juara 2016, Denmark, di Bangkok.

Perlawanan separuh akhir di Impact Arena itu, menyaksikan perseorangan ketiga mereka Prannoy H.S. menjadi wira, selepas menang 13-21, 21-9, 21-12 ke atas Rasmus Gemke, sekali gus mencatatkan kemenangan dramatik terhadap ‘The Valkyrie’.

Iklan
Iklan

Terdahulu, India bangkit setelah ketinggalan untuk mencatat kemenangan ke atas Denmark yang mendapat mata pertama, selepas pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen menewaskan pemain perseorangan utama mereka Lakshya Sen, 13-21, 13-21.

Bagaimanapun, pasangan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty menjadikan kedudukan 1-1, selepas mereka mengalahkan pasangan Kim Astrup-Mathias Christiansen dalam satu lagi perlawanan tiga set yang mendebarkan, 21-18, 21-23, 22-20.

Iklan

India kemudiannya mendahului, selepas pemain perseorangan kedua mereka Kidambi Srikanth berjaya mengatasi Anders Antonsen dalam satu lagi perlawanan getir, 21-18, 12-21, 21-15, sebelum ‘The Danes’ mengikat kedudukan menjadi 2-2, menerusi pasangan Anders Skaarup Rasmussen-Frederik Sogaard yang menewaskan Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala, 21-14, 21-13.

India akan bertemu Indonesia, yang kini dalam usaha mengekalkan kejuaraan selepas mengalahkan juara edisi 2014, Jepun, 3-2.

Iklan

Pasukan pilihan itu berjaya mendapatkan mata pertama selepas pemain perseorangan utama mereka Anthony Sinisuka Ginting mengatasi Kento Momota, 21-12, 14-21, 21-12, dalam perlawanan 81 minit.

Pasangan Mohammad Ahsan-Kevin Sanjaya Sukamuljo menjadikan kedudukan 2-0 selepas mengatasi juara dunia Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 22-20, 8-21, 24-22.

Namun Kenta Nishimoto memberikan Jepun mata pertama selepas mengalahkan Jonatan Christie 22-20, 21-13, sebelum pasangan Akira Koga-Yuta Watanabe menghidupkan peluang Jepun dengan memberikan mata kedua selepas mengalahkan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-14, 13-21, 21-18.

Bagaimanapun, Shesar Hiren Rhustavito menafikan usaha Jepun untuk bangkit semula selepas mengalahkan Kodai Naraoki 21-17, 21-11 dalam masa 44 minit seterusnya membawa juara bertahan itu ke perlawanan akhir pada Ahad.

Sementara saingan Piala Uber 2022, menyaksikan juara 15 kali dan juara bertahan China, menghancurkan harapan Thailand untuk ke akhir, apabila mengalahkan pasukan tuan rumah itu 3-0 pada separuh akhir, manakala Korea mengejutkan pemenang tempat kedua edisi 2020 Jepun, 3-0 sekali gus layak ke perlawanan akhir mereka yang pertama sejak 2016. - Bernama