Kes HFMD di Pahang terus meningkat

Iklan
Kes HFMD di Pahang masih menunjukkan peningkatan sepanjang minggu ini. (Gambar kecil: Dr Nor Azimi) - Foto 123RF

KUANTAN - Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri Pahang masih menunjukkan peningkatan sepanjang minggu ini.

Situasi itu dijangka akan terus meningkat sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil ibu bapa dan pengusaha taska, tadika serta prasekolah.

Iklan
Iklan

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, sebanyak 1,288 kes HFMD dicatatkan sehingga 12 Mei berbanding, 1,142 kes setakat 7 Mei lalu.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu, hanya 200 kes dicatatkan dan jumlah ini menunjukkan peningkatan lebih enam kali ganda tahun ini.

Iklan

"Sebanyak 138 kes atau 10.7 peratus dikenalpasti hasil daripada penularan yang berlaku di 27 buah taska, tadika dan prasekolah seluruh negeri, manakala 1,150 kes (89.3 peratus) berlaku secara sporadik.

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan dan tiada rawatan khusus atau rawatan alternatif untuk merawat jangkitan HFMD," katanya.

Iklan

Dr Nor Azimi berkata, rawatan diberikan hanya untuk mengurangkan gejala yang dialami pesakit.

"Tindakan pencegahan merupakan kaedah terbaik bagi mengelakkan jangkitan HFMD.

"Justeru, pesakit dinasihatkan untuk minum banyak air kosong untuk mengelakkan dehidrasi sepanjang tempoh jangkitan dan dapatkan rehat secukupnya serta amalkan pemakanan yang sihat," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan promosi rawatan alternatif bagi menyembuhkan HFMD sebaliknya dapatkan nasihat yang sahih daripada pegawai perubatan dan anggota kesihatan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko dijangkiti antaranya, basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.

"Sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah dan persekitaran, tutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin, jangan berkongsi pakaian, tuala, perkakas, makanan dan minuman serta alat mainan anak," katanya.

Pada masa sama katanya, segera bawa kanak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau gejala jangkitan.

"Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam," katanya.

Tambah beliau, pengusaha dan penjaga di taska, tadika, tabika dan prasekolah diminta supaya sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan kanak-kanak.

"Saringan juga perlu dibuat di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak yang hadir tiada tanda-tanda jangkitan HFMD.

"Bagi kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan," katanya.

Katanya, langkah disinfeksi atau nyahkuman permukaan-permukaan yang tercemar juga dapat mengurangkan risiko jangkitan.