KUALA LUMPUR - Empat lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia ditahan pada Jumaat dalam lima serbuan di kawasan perumahan setinggan dan flat di sini kerana disyaki terlibat sindiket menjual dan mengedar spesis burung dilindungi.
Komander Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, sindiket tersebut menjadikan beberapa buah rumah di kawasan perumahan setinggan dan rumah flat sebagai tempat penyimpanan dan penjualan hidupan liar yang dilindungi.
"Serbuan dijalankan sekitar jam 4.40 petang dengan kerjasama anggota dan pegawai dari Jabatan Perhilitan Wilayah Persekutuan.
"Dalam serbuan tersebut, tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara Indonesia ditahan.
"Turut dirampas termasuk 71 ekor burung dan sangkar dengan nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM105,700," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, serbuan ini dipercayai telah berjaya mengganggu gugat rangkaian pengedaran dan penjualan hidupan liar oleh satu sindiket di Lembah Klang.
Dalam pada itu, Zulkifli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang berkenaan pemuliharaan hidupan liar supaya tampil ke balai berhampiran.
Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.