[VIDEO] Kematian Presiden UAE: Bendera Pahang dikibar separuh tiang lima hari

Iklan

KUANTAN - Berikutan kematian Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed Al-Nahyan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar bendera Negeri Pahang dikibarkan separuh tiang selama lima hari berturut-turut di semua premis kerajaan Negeri dan Persekutuan di negeri ini mulai Sabtu.

Memetik laporan Pahang Media, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, semua masjid di negeri ini juga diminta mengadakan bacaan surah Yassin selepas solat Maghrib selama tiga hari.

Iklan
Iklan

Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Almarhum dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga sabar serta tabah menghadapi dugaan.

Iklan

Seri Paduka Baginda mendoakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Susulan daripada berita kemangkatan Almarhum, Seri Paduka Baginda telah menghubungi Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan menerusi panggilan telefon untuk menzahirkan ucapan takziah secara peribadi kepada beliau dan seluruh keluarga.

Iklan

Sementara itu, Menteri Besar Pahang,Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemergian pemerintah UAE itu cukup dirasai rakyat negeri ini.

Menurutnya, pemimpin ulung itu banyak membantu Pahang terutama dalam hal kemanusiaan dan kebajikan rakyat.

"Saya mewakili Kerajaan Negeri Pahang merakamkan ucapan takziah dan berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama golongan yang beriman," katanya melalui satu kenyataan di Facebooknya.

Sheikh Khalifa Zayed Al-Nahyan, 73 meninggal dunia pada Jumaat.

Tempoh 40 hari berkabung dengan bendera negara itu diturunkan separuh bermula Jumaat manakala kerja di sektor awam dan swasta telah ditangguhkan selama tiga hari.

Sheikh Khalifa mengambil alih sebagai presiden UAE pada November 2004, bagi menggantikan bapanya sebagai pemerintah ke-16 Abu Dhabi.

Allahyarham jarang dilihat dalam khalayak ramai sejak 2014 sejak menjalani pembedahan akibat strok.