KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) lega apabila kerajaan menghentikan sementara sistem digital pengambilan pekerja asing selepas beberapa kali membangkitkan isu sama sebelum ini.
Setiausaha Agungnya, Dr Sukumaran Nair berkata, proses pengambilan kini berjalan dengan sangat lambat dan beliau berpendapat sistem tersebut tidak seharusnya mengambil alih tugas kerajaan.
Tegasnya, PAPSMA juga mencadangkan pengambilan yang adil, beretika dan tanpa sebarang monopoli dalam proses pengambilan pekerja asing.
"PAPSMA menolak sebarang kegiatan berbentuk sindiket dan monopoli yang ditetapkan mana-mana negara dalam pengambilan dan penempatan pekerja asing ke Malaysia.
"Sindiket pengambilan seperti itu telah menimbulkan pemerdagangan manusia dan buruh paksa pada masa lalu termasuk Malaysia pada era 2015 hingga 2017," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah Sukumaran, beliau percaya akan ada perubahan besar untuk proses pengambilan pekerja asing selepas Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) itu ditangguhkan.
Dalam pada itu, PAPSMA menggesa kerajaan bertemu pemain industri untuk mencari penyelesaian melicinkan proses pengambilan tanpa mengabaikan dasar dan peraturan ditetapkan kerajaan.
"Malaysia kini mengalami kerugian jutaan ringgit akibat kelewatan dalam proses kelulusan dan pengambilan pekerja asing ke dalam sektor yang amat memerlukan.
"Memorandum kerajaan dengan negara lain nampaknya tertangguh terutamanya dalam pengambilan pekerja asing walaupun kerajaan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sejak tahun lepas," ujarnya.
Dalam pada itu, Sukumaran mengakui terkejut apabila proses pengambilan memakan masa lama sedangkan banyak sektor mengalami kekurangan pekerja yang agak ketara sejak pandemik melanda.