SHAH ALAM - Pengabaian aspek kebersihan asas seperti mencuci tangan dengan kerap dan memastikan tempat-tempat yang sering dicapai oleh kanak-kanak kekal bersih menjadi punca penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) kembali menular di Selangor.
Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, antara punca penularan penyakit tersebut terutamanya di taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak ialah kealpaan pengusaha premis-premis tersebut untuk mengamalkan garis panduan kebersihan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurutnya, penyakit berjangkit tersebut tidak sepatutnya dilupakan kerana ia bersifat endemik dan akan terus berada dalam masyarakat jika langkah pencegahan tidak diamalkan dengan bersungguh-sungguh.
"Dulu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita sering melaksanakan kempen supaya semua guru dan anak-anak perlu membasuh tangan serta menjaga kebersihan dengan menjalankan sanitasi tempat yang selalu dicapai oleh kanak-kanak tersebut.
"Jadi ini adalah amalan yang sudah menjadi kelaziman, tapi saya rasa mungkin kerana pandemik Covid-19 yang melanda, banyak tempat tersebut ditutup.
"Kemudian bila ia dibuka semula, mungkin mereka lupa rutin-rutin yang biasa dibuat di premis-premis tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Dalam pada itu, Siti Mariah turut mencadangkan supaya semua Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengadakan kursus penjagaan kebersihan kepada pekerja di premis-premis tersebut yang mungkin tidak biasa bekerja di sektor penjagaan kanak-kanak atau tidak peka tentang cara penyakit ini menular.
Ujarnya, pencegahan penyakit HFMD tidak memerlukan peruntukan khas untuk mengekang wabak terbabit, sebaliknya ia bergantung kepada asas penjagaan kebersihan itu sendiri.
"Saya agak terkejut bila dimaklumkan tentang kes penularan HFMD itu kerana sebelum PKP, kita memang sering adakan kempen setiap tahun berkenaan penyakit tersebut. Jadi kita ingat rutin mencuci tangan itu sudah sebati (dalam kalangan masyarakat).
"(HMFD) tidak sepatutnya berlaku kerana kita selalu amalkan penjagaan kebersihan ketika virus Covid-19 menular. Walaupun Malaysia sudah memasuki fasa peralihan endemik daripada wabak Covid-19, kita tidak boleh lupa tentang penyakit berjangkit lain.
"Kalau kita dapat jaga betul-betul (kekang HMFD) dalam masa dua minggu, jumlah kes tersebut mungkin boleh menurun," katanya.
Pada Jumaat, sebanyak 6,748 kes penyakit HFMD dilaporkan di seluruh Selangor dengan bilangan kes mingguan melebihi paras amaran setakat 7 Mei lepas.
Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, daripada bilangan tersebut, empat peratus daripadanya dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan lanjut dan selebihnya menerima rawatan pesakit luar.