MELAKA TENGAH - Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Padang Kemunting, Masjid Tanah akan diberikan nafas baharu dengan menaik taraf beberapa kemudahan di kawasan perkelahan itu bermula Jun depan.
Exco Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, usaha itu bertepatan ia sebagai lokasi pendaratan terbesar penyu karah di Semenanjung Malaysia dengan keluasan sepanjang 800 meter.
Menurutnya, dalam tempoh itu juga seramai 58,000 pelancong yang datang ke tempat tersebut bagi melihat pendaratan penyu selain mendapat info berkaitan habitat berkenaan dan yakin penambahan seperti kemudahan chalet akan menarik lebih ramai pengunjung ke lokasi pelancongan luar bandar tersebut.
"Kita nak wujudkan chalet sementara bagi membolehkan pengunjung dapat menikmati suasana alam dan melihat produk pelancongan yang sedia ada.
"Kertas kerja bagi pembangunan itu telah disiapkan bersama Jabatan Perikanan negeri dan ingin saya tekankan, kita tidak boleh menghalang kemajuan namun kemajuan atau pembangunan itu kita akan pastikan penyu-penyu terus dilindungi," katanya.
Tambah Muhammad Jailani, beliau turut berharap Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dapat segera meluluskan projek pembangunan tersebut yang telah dicadangkan sejak tahun lalu.
"Perancangan pembangunan ini ke arah kebaikan dan pembangunan yang ingin dijalankan selaras dengan dasar ekosistem yang ada.
"Dalam masa yang sama, promosi pelancongan harus diteruskan dan kaedah interaktif perlu dikreatifkan lagi serta perlu juga pembangunan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri, Johari Tim yang dihubungi berkata, pihaknya telah membuat semakan dan mendapati Melaka merekodkan sebanyak 573 pendaratan penyu jenis itu pada tahun 2017 berbanding negeri Terengganu yang hanya mencatatkan tidak kurang 10 pendaratan penyu karah dan negeri terbabit lebih terkenal dengan pendaratan penyu agar.
"Angka pendaratan itu terus meningkat kepada 600 pendaratan pada tahun lalu, dan Jabatan Perikanan akan terus proaktif bagi memastikan habitat penyu terus dipelihara dan tidak pupus selain memastikan ia terus menjadi destinasi pilihan penyu untuk bertelur," katanya.