Jejambat Jalan Langgak Golf- Bulatan Pandan atasi kesesakan

Iklan
Shahidan (dua dari kanan) merasmikan jejambat menghubungkan Jalan Langgak Golf dengan Bulatan Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto: Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR - Pembukaan jejambat menghubungkan Jalan Langgak Golf dengan Bulatan Kampung Pandan bermula jam 12 tengah malam ini, dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Tun Razak di sini terutama pada waktu puncak.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, projek yang bermula 10 Julai 2017 itu siap sepenuhnya pada Rabu lepas (11 Mei) melibatkan pembinaan laluan bertingkat berjarak keseluruhan 2.8 kilometer (km) dengan laluan utama.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pembinaan projek bernilai RM492.5 juta itu juga melibatkan laluan susur keluar dan masuk secara keseluruhan sepanjang 1.6km, dengan pembinaan sebanyak sembilan lokasi keluar dan masuk selain infrastruktur seperti lampu jalan baharu dan tembok penahan.

"Kementerian Wilayah Persekutuan bersama agensinya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan terus komited dalam menaik taraf sistem trafik, pengangkutan awam dan pembangunan kemudahan lalu lintas bagi keselesaan rakyat khususnya warga kota.

Iklan

"Komitmen ini adalah sejajar dengan matlamat kerajaan Keluarga Malaysia untuk menjadikan Kuala Lumpur antara bandar raya yang terbaik dari segi jaringan lalu lintas, selain mampu memenuhi keperluan serta aspirasi rakyat,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian jejambat tersebut di sini pada Sabtu.

Shahidan berkata, jejambat tersebut turut menghubungkan laluan keluar dan masuk Lebuh Raya Maju Expressway bagi memudahkan pengguna dari Putrajaya dan Puchong untuk memasuki Kuala Lumpur serta memberi akses kepada pengguna yang ingin keluar daripada Jalan Bukit Bintang.

Iklan

Beliau berkata, projek itu juga dirancang untuk dihubungkan dengan Setiawangsa-Pantai Expressway pada masa akan datang. - Bernama