KUANTAN - Seorang ibu merayu mana-mana pihak membantu membawa pulang anaknya, Koh Sheng Yur, 19, yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Lay Kay Kaw, Myanmar selepas bekerja di Kuala Lumpur pada bulan lalu.
Ibunya, Loke Chooi Tip, 56, berkata, perkara itu diketahui selepas anak bongsu dari empat beradik itu berkongsi lokasi di Instagram pada 2 Mei lalu dan hanya boleh berkomunikasi melalui media sosial.
"Sukar untuk kami sekeluarga terima kerana sebelum ini Sheng Yur sentiasa berada bersama saya di rumah. Bila berlaku perkara begini, saya susah hati memikirkan dia (Sheng Yur) sudah makan atau tidak kerana ini paling lama berjauhan.
"Kali terakhir saya bercakap dengan Sheng Yur pada 15 April lalu, saya tahu dia dalam ketakutan kerana sedang menangis.
"Saya tidak tahu tentang keseluruhan kejadian itu dan bagaimana dia ke Thailand dan Myanmar kerana pasport antarabangsanya masih disimpan di rumahnya di Pekan," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.
Dia yang bekerja sebagai tukang jahit berkata, Sheng Yur ke Kuala Lumpur pada 6 April lalu selepas memaklumkan mendapat pekerjaan di sebuah syarikat mata wang kripto.
Pada 13 Mei, Chooi Tip dikatakan gagal menghubungi anaknya dan satu laporan polis telah dibuat di balai polis berdekatan.
"Selepas itu, suami saya menerima mesej daripada salah seorang rakan Sheng Yur mengatakan anak saya berada di Thailand dan telah menelefon untuk meminjam RM60,000 untuk pulang ke rumah.
"Saya memaklumkan kepada rakannya itu mustahil untuk anaknya pergi ke Thailand tanpa pasportnya dan membawa wang tunai yang sedikit.
"Rakan itu menasihati saya untuk membuat laporan polis dan mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa untuk mengesan Sheng Yur," ujarnya.
Chooi Tip memberitahu pada 15 April, satu panggilan diterima daripada Sheng Yur mengatakan dia tidak lagi mahu bekerja di Thailand dan mahu pulang ke rumah sebelum individu lain bercakap.
Bagaimanapun katanya, individu itu meminta supaya membayar wang tunai pampasan kepada majikan dan Sheng Yur berada dalam keadaan selamat.
"Saya memaklumkan kepada Sheng Yur supaya segera menghubungi abangnya untuk memberi maklumat tentang keberadaannya dan itu adalah kali terakhir kami bercakap.
"Kini kami hanya berhubung dengan melalui mesej dan tidak pasti sama ada dia atau orang lain yang membalasnya," katanya.
Sementara itu, Chon Siang tidak menolak kemungkinan remaja itu menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang mengambil rakyat Malaysia sebagai ejen tempatan mereka.
"Kami telah membaca banyak artikel berita mengenai penipuan sebegitu di akhbar dan saya harap kerajaan dapat membantu menyelesaikan perkara ini.
"Sebagai permulaan saya akan menghubungi Kedutaan Malaysia di Yangon (Myanmar) untuk melihat bagaimana kita boleh membawa pulang Sheng Yur dan rakyat Malaysia yang lain dengan selamat.
"Kami berharap Kementerian Luar juga melihat isu ini dengan serius," katanya.