POKOK SENA - Persaingan dua tokoh ternama dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli merebut jawatan Timbalan Presiden tidak akan memecah belahkan parti, seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Che Mat Dzaher Ahmad berkata, walaupun kedua-duanya berdepan saingan sengit berikutan mempunyai pengikut masing-masing, pihaknya percaya saingan itu akan kembali bertaut seusai pemilihan untuk kepimpinan baharu memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, kedua-dua tokoh itu diperlukan parti untuk mengukuhkan lagi gerak kerja PRU15 walaupun tidak dipilih sebagai pemimpin nombor dua PKR itu kelak.
"Saya tak nampak sebab akan berlakunya perpecahan akibat daripada persaingan itu, pengundi di peringkat cabang kini lebih terbuka, mereka bebas untuk mengundi Rafizi atau Saifuddin.
"Kedua-duanya ada kelebihan tersendiri, Saifuddin pemimpin yang setia kepada parti manakala Rafizi menjadi pilihan netizen khususnya anak muda.
"Kedua-dua calon adalah kesayangan parti dan mempunyai strategi tersendiri namun hakikatnya, tidak akan berlaku perpecahan sebagaimana ketika pertandingan Rafizi dengan (Datuk Seri) Mohamed Azmin Ali,” katanya ketika ditemui pada hari pengundian Pemilihan PKR Kedah secara fizikal bagi Cabang Pokok Sena di Dewan Belia Bimbingan di sini pada Sabtu.
Che Mat Dzaher yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR Kedah berkata, perdebatan antara dua tokoh itu merupakan pendekatan baharu parti dalam memperkenalkan sistem baharu politik Malaysia.
"Untuk memenuhi jentera parti di peringkat tertinggi, kita perlu adakan pemilihan parti untuk memenuhi jawatan timbalan presiden dan naib yang dikosongkan. Ia adalah peluang untuk kita membentuk kekuatan jentera baharu untuk berdepan PRU15,” katanya.
Menurutnya, apa jua keputusan pemilihan kelak, semua ahli yang berkempen untuk memenangkan calon Timbalan Presiden PKR hendaklah kembali bersatu dan akur dengan keputusan kerana ia adalah pilihan akar umbi.
"Kita tidak perlu ragu atau pertikai keputusan atau berpuak-puak selepas pemilihan selesai kembalilah bersatu untuk parti dan tumpu kepada PRU15.
"Saya mohon semua cabang di seluruh negeri adakan pengundian secara aman, adil dan berhemah sebagai sebuah parti yang akan membawa satu perubahan besar kepada negara,” katanya.
Che Mat Dzaher yang juga calon Ketua Cabang Pokok Sena berdepan tiga penjuru bagi mempertahankan jawatan yang disandangnya.
"Peratus yang turun mengundi agak rendah pada sebelah pagi, sekitar 25 peratus. Saya percaya peratusan keluar mengundi secara fizikal lebih rancak pada sebelah petang.
"Jumlah pengundi yang layak mengundi di Cabang Pokok Sena sekitar 1,800 orang dan kebiasaan undian dalam talian mengatasi jumlah kehadiran fizikal. Dianggarkan sekitar 40 peratus daripada keseluruhan pengundi akan mengundi secara semuka,” katanya.
Menurutnya lagi, pemilihan kali ini agak tenang tanpa provokasi daripada calon yang bertanding dan berlangsung secara harmoni seperti sebuah keluarga.
"Konsep yang kita perkenalkan dalam pemilihan kali ini adalah persaudaraan keluarga. Tiada apa-apa perkara luar jangkaan berlaku.
"Cuma ada sedikit pertikaian tentang kedudukan khemah calon dengan pusat pengundian yang perlu penjarakan 200 meter. Oleh kerana ukuran tidak tepat, kita ubah khemah ke luar pagar dewan, namun kita akur dan tidak berlaku sebarang kekecohan,” katanya lagi.