KUANTAN - Beberapa pengunjung Pantai Batu Hitam dekat sini yang leka mandi-manda bergegas naik selepas diberitahu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bertugas berhubung kehadiran ubur-ubur di pantai itu yang disedari sejak Jumaat.
Rata-rata pengunjung yang ditemui mengakui mereka tidak tahu tentang kehadiran haiwan terbabit.
Seorang pengunjung, Fatonah Rosli, 18, dari Raub berkata, dia sekeluarga singgah di pantai itu dan dua adiknya sempat mandi tanpa mengetahui tentang kehadiran ubur-ubur di pantai itu.
Menurutnya, awalnya dia menyangka beberapa anggota APM yang datang mendekatinya untuk memberitahu supaya naik kerana cuaca hendak hujan.
"Rupa-rupanya ada ubur-ubur di sini, jadi dua adik saya yang sedang mandi segera naik kerana bimbang terkena sengatan," katanya ketika ditemui di pantai itu pada Sabtu.
Sementara itu, adiknya, Amir Aiman Rosli,16, berkata, sepanjang berada di dalam air dia tidak melihat kehadiran ubur-ubur itu.
"Mungkin juga saya tidak sedar kehadirannya di dalam air kerana leka mandi.
"Saya berterima kasih kepada pihak APM yang datang memberitahu dan memberi peringatan" katanya.
Kehadiran ubur-ubur di Pantai Batu Hitam disedari tiga anggota APM selepas cedera terkena sengatannya ketika menjalani latihan harian di pantai itu pada Jumaat.
Susulan kejadian, anggota APM bertugas di menara pemantau di pantai itu telah meletakkan papan tanda amaran sebagai peringatan kepada pengunjung tentang ancaman ubur-ubur yang belum dikenal pasti jenisnya setakat ini.
Tinjauan Sinar Harian di pantai itu pada petang Sabtu mendapati anggota APM bertugas turut mengadakan rondaan dan memberikan peringatan kepada pengunjung supaya menjauhi kawasan gigi air bagi mengelak kejadian tidak diingini susulan kehadiran ubur-ubur di pantai itu.
Anggota APM bertugas, Wan Mohd Harith Firdaus Wan Zaki, 34, ketika ditemui berkata, setakat ini belum ada kejadian pengunjung terkena sengatan namun pihaknya tetap berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan.
"Selain meletakkan papan tanda dan sentiasa memberi peringatan kepada pengunjung, kami juga turut bersedia menghulurkan rawatan awal jika ada pengunjung terkena sengatan haiwan itu.
"Sekiranya berlaku, kami hanya sediakan rawatan awal termasuk membersihkan kesan cedera dengan cuka, namun jika teruk, kami akan hubungi ambulans untuk hantar mangsa ke hospital," katanya.
Wan Mohd Harith Firdaus bersama dua rakan setugas, Mohd Alim Al-Fattah Abdullah, 32, dan Wan Ahmad Afiq Noor Ahmad Bustaman, 33, merupakan mangsa yang cedera terkena sengatan ubur-ubur di pantai itu pada Jumaat.
Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka hanya mengalami cedera ringan tanpa perlu menjalani rawatan di hospital.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika dia bersama dua rakan yang bertugas sedang menjalani latihan.
"Saya orang pertama berada di dalam air dan ketika itu badan saya mula rasa gatal-gatal. Dua rakan lain yang turun kemudiannya turut mengadu merasai perkara sama.
"Selepas itu kami nampak haiwan tersebut berada di sekeliling lalu segera naik dan mula rasa pedih kesan sengatannya," katanya.
Selepas mendapatkan rawatan, dia dan dua rakannya itu kembali ke pantai untuk menangkap ubur-ubur sebagai bukti bagi membuat laporan kepada pegawai atasan.
Menurutnya, selama bertugas di situ, itu kali pertama dia terkena sengatan ubur-ubur dan melihat kehadiran haiwan itu di pantai tersebut.
Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba menyentuh ubur-ubur yang ditemui di Pantai Batu Hitam bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Menurutnya, pegawainya telah ke lokasi pada Jumaat bagi mengenal pasti dan mengambil sampel untuk mengesahkan spesies hidupan laut terbabit selepas menerima maklumat ada individu disengat.
"Bahagian teknikal akan meneliti spesies ubur-ubur yang muncul di Pantai Batu Hitam itu namun ketika ini kami belum dapat sahkan spesiesnya sama ia beracun atau sebaliknya," katanya.