Laluan emas Jackie penuh ranjau...

Iklan
Jackie (tengah), Sadat Maryuqi (kiri) dan Grace Wong (kanan) bersama pingat yang dimenangi masing-masing dalam acara lontar tukul besi pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. - Foto Bernama

ATLET tukul besi negara, Jackie Wong terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan sebelum kembali merampas pingat emas di Sukan SEA Hanoi 2021.

Beliau yang ‘ditahan’ di hospital selama hampir tiga bulan selepas positif Covid-19 pada Mac 2020, mengambil setahun untuk pulih ke prestasi sebenarnya berikutan jangkitan wabak itu dan tidak dapat menjalani latihan sepanjang tempoh berada di hospital.

Iklan
Iklan

Atlet berusia 30 tahun dari Sarawak itu, kemudian diuji kecederaan kepala apabila terkena tukul besi ketika latihan pada Oktober lepas.

Tidak terhenti di situ, laluan Jackie Wong terus dipenuhi ranjau berduri apabila dua minggu lepas, beliau dimaklumkan bahawa acara tukul besi lelaki Sukan SEA kali ini dibatalkan kerana kurang penyertaan selepas hanya dua atlet dari Malaysia dan seorang dari Thailand mendaftar.

Iklan

Acara itu hanya dimasukkan kembali ketika mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dua hari lepas selepas Kemboja bersetuju menghantar Sim Samedy untuk bertanding sekali gus melengkapkan syarat sekurang-kurangnya tiga negara menyertai acara itu.

"Apabila saya dimaklumkan acara ini dibatalkan dua minggu lepas, memang dari segi emosi dan mental saya sangat terganggu. Kita telah menunggu dua tiga tahun untuk beraksi di kejohanan antarabangsa dan selama ini hanya menyertai kejohanan domestik.

Iklan

"Kemudian tiga bulan saya tidak dapat berlatih kerana terkena hammer (tukul) sehingga masuk hospital dan rasa pening dan loya ketika berlatih. Jadi boleh kata emas ini tuhan yang kurniakan kepada saya,” katanya kepada pemberita di Stadium Nasional My Dinh pada Sabtu.

Jackie muncul juara acara itu dengan balingan sejauh 66.49m pada percubaan terakhir untuk merampas gelaran itu daripada Kittipong Boonmawan dari Thailand buat kali kedua.

Kittipong terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatatkan 64.54m manakala seorang lagi atlet Malaysia, Sadat Marzuki Ajisan meraih gangsa dengan balingan 58.86m.

"Sebelum balingan terakhir itu, saya memang agak gementar, tapi saya tarik nafas dalam-dalam, ingat kembali teknik balingan, balingan terbaik dan siapkan mental untuk membuat balingan terbaik,” jelasnya.

Beliau yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 68.22m berharap untuk mempertahankan gelaran itu pada edisi Kemboja 2023, dalam masa setahun lagi dengan pingat itu hanya bertukar tangan sejak edisi 2013.

Jackie merangkul emas dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dengan lontaran 65.9m yang juga rekod kejohanan tetapi hanya mampu meraih perak dalam edisi 2019 di Filipina apabila Kittipong merampas semula emas dengan rekod baharu kejohanan 67.56m. - Bernama