SKUAD bina badan negara terus menampilkan prestasi membanggakan apabila menyumbang dua pingat perak dan dua gangsa pada Sukan SEA Hanoi 2021 di sini.
Buda Anchah dan Zmarul Adam Pulutan Abdullah, masing-masing meraih perak dalam kategori 70 kilogram (kg) serta 75kg lelaki pada hari kedua acara bina badan yang berlangsung di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi.
Setelah sembilan tahun acara bina badan tidak dipertandingkan pada Sukan SEA, kejayaan Buda sekali gus memperbaiki pencapaiannya yang meraih pingat gangsa pada edisi 2013 di Myanmar.
Pingat emas kategori itu diraih atlet Myanmar, Ye Htun Naung manakala gangsa milik Phouthsavanh Sisomphou dari Laos.
Zmarul Adam pula terpaksa akur kepada peserta tuan rumah, Tran Hoang Duy Thuan sementara pingat gangsa menjadi milik atlet Thailand, Wichai Singthong.
Kem bina badan negara turut meraih dua pingat gangsa menerusi Zainal Arif Zainal Ariffin dan Muhammad Uzair Mat Noor, masing-masing dalam kategori 80kg serta 85kg.
Zainal Arif berada di kedudukan ketiga di belakang pemenang pingat emas, Ekkaphon Sukthong dari Thailand dan atlet Myanmar Min Zaw Oo yang memenangi perak.
Muhammad Uzair pula di kedudukan ketiga di belakang Aphichai Wandee dari Thailand dan peserta Myanmar Khin Mg Kyaw.
Pencapaian pada Sabtu menyaksikan skuad bina badan negara sudah mengutip tiga pingat perak dan tiga gangsa selepas Malaysia memenangi satu perak dan satu gangsa pada Jumaat.
Malaysia berpeluang merangkul pingat emas pertama dalam acara bina badan apabila jagoan negara, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah atau lebih dikenali dengan panggilan 'Mike,' dijadual beraksi pada Ahad.
Juara dunia empat kali itu akan bersaing dalam acara Athletics Physique.
Kali terakhir bina badan dipertanding di Sukan SEA pada edisi 2013 di Myanmar apabila Malaysia membawa pulang masing-masing satu emas, perak dan gangsa. - Bernama