PELARI muda sensasi Thailand Puripol Boonson yang berjaya mencatatkan rekod baharu kejohanan Sukan SEA buat kali kedua sekali gus memenangi pingat emas acara riben biru 200 meter (m), pada hari yang suram buat atlet pecut negara hari ini.
Selepas memecahkan rekod 20.69 saat (s) berusia 23 tahun dipegang rakan senegara, Reanchai Seeharwong yang dicatatkan pada SEA Brunei 1999, pada Saringan 1 dengan catatan 20.41s, pelari berusia 16 tahun itu memperbaiki lagi rekod itu pada acara akhir 200m dengan masa 20.37s di Stadium Nasional My Dinh di sini.
Pelari tuan rumah, Ngan Ngoc Nghia (20.74s) dan Chayut Khongprasit (20.77s) dari Thailand masing-masing menang perak dan gangsa.
Atlet Malaysia, Muhammad Arsyad Md Saat yang mencatatkan dua masa peribadi terbaiknya masing-masing 21.00s pada Saringan 2 dan 20.95s pada akhir setelah menamatkan perlumbaan di tempat keempat manakala Jonathan Nyepa (21.24) di tempat keenam.
Muhammad Arsyad yang sebelum ini melakarkan catatan terbaiknya 21.25s yang dilakukannya di Kejohanan KL All-Comers pada Mac, berharap untuk mengekalkan momentumnya pada acara 100m dan 4x100m, selepas berhadapan dengan masalah pada blok pelepasan saingan pada Sabtu.
"Blok itu asyik terlepas ke belakang, kira-kira lapan kali saya cuba betulkan, tetapi apabila ia bermula, ia terlepas lagi, jadi saya tidak dapat untuk mengejar semua yang lain. Menang pingat emas 100m mungkin agak sukar, tetapi untuk 4x100, peluang itu ada kerana kita berkedudukan kedua di rantau ini,” katanya kepada pemberita di sini.
Pada acara 200m wanita pula, atlet Singapura Veronica Shanti Pereira menang semula pingat emas selepas lapan tahun, sejak kali terakhir melakukannya pada 2015 pada edisi di Singapura, dengan mencatatkan rekod baru kebangsaan 23.52s.
Pasangan atlet kembar Filipina, Kayla Ashley Richardson (23.56s) dan Kayla Anise Richardson (23.87s) masing-masing menang perak dan gangsa.
Wakil Malaysia, Zaidatul Husniah Zulkefli (24.07s) di tempat kelima manakala atlet berusia 36 tahun Siti Fatimah Mohamad (25.29s) menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.
Sementara itu, Iskandar Alwi menang pingat gangsa acara lompat galah buat kali keempat dengan lompatan 4.80m.
Filipina mendominasi acara itu dengan Ernest John Obiena menang emas dengan mencatatkan rekod baru kejohanan 5.60m, mengatasi catatan 5.35m oleh Porranot Purahong dari Thailand pada 2017, manakala Hoket Delos Santos menang perak (5.00m)
Atlet lompat kijang negara, R Kirthana yang melakukan lompatan 13.14m, menduduki tempat kelima dengan atlet Thailand, Parinya Chuaimaroeng yang melakukan lompatan 13.55m menang emas.
Dalam acara 1,500m, Mohamad Amirul Arif Mohd Azri yang mencatatkan masa 3 minit dan 56.82 saat hanya ketinggalan sedikit dan terlepas daripada memenangi gangsa.
Vietnam menguasai perlumbaan dengan Luong Duc Phuac (3:54.37s) menang emas manakala rakan senegara, Van Dang (3:55.66s) dan atlet Filipina Alfrence Braza (3:56.35s), gangsa.
Sementara itu, pengurus pasukan John Ayavu berkata, K Prabudass, menarik diri daripada acara 1,500m, kerana tidak sihat sejak latihan pada Jumaat tetapi berada dalam keadaan stabil untuk kemungkinan menyertai acara 5,000m dan 10,000m pada hari-hari selepas ini. - Bernama