Kes HFMD terus meningkat

Iklan
Penyakit HFMD turut melibatkan segelintir golongan dewasa.

NEGARA kini diserang dengan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) apabila kebanyakan negeri terus mencatatkan peningkatan.

Walaupun negara baharu sahaja memasuki fasa peralihan ke endemik, kini negara kembali mencatatkan kes HFMD dan ia meningkat mendadak berbanding tahun sebelum ini.

Iklan
Iklan

Penyakit HFMD itu bukan sahaja menjangkiti kanak-kanak tetapi turut melibatkan segelintir golongan dewasa.

Pada Sabtu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes HFMD terus mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 28,957 kes pada Minggu Epid 19 sejak Januari hingga Jumaat di seluruh negara.

Iklan

Tambahnya, secara perbandingan hanya 4,239 kes tersebut direkodkan tahun lepas.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, KKM merekodkan 22,463 kes HFMD di seluruh negara pada Minggu Epid 17/2022.

Iklan

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan peningkatan sebanyak 12.8 kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2021 dengan 1,752 kes.

Dalam pada itu, Khairy turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap penyakit endemik yang lain seperti demam denggi dan HFMD.

Selain itu, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pengabaian aspek kebersihan asas seperti mencuci tangan dengan kerap dan memastikan tempat-tempat yang sering dicapai oleh kanak-kanak kekal bersih menjadi punca HFMD kembali menular di Selangor.

Tambah beliau, antara punca penularan penyakit tersebut terutamanya di taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak adalah disebabkan kealpaan pengusaha premis-premis tersebut untuk mengamalkan garis panduan kebersihan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, penyakit berjangkit tersebut tidak sepatutnya dilupakan kerana ia bersifat endemik dan akan terus berada dalam masyarakat jika langkah pencegahan tidak diamalkan dengan bersungguh-sungguh.

Selain itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, kes HFMD di Pahang masih menunjukkan peningkatan sepanjang minggu ini.

Situasi itu dijangka akan terus meningkat sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil ibu bapa dan pengusaha taska, tadika serta prasekolah.

Beliau berkata, sebanyak 1,288 kes HFMD dicatatkan sehingga 12 Mei berbanding, 1,142 kes setakat 7 Mei lalu.

Ujarnya, ibu bapa dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan promosi rawatan alternatif bagi menyembuhkan HFMD sebaliknya dapatkan nasihat yang sahih daripada pegawai perubatan dan anggota kesihatan.

Justeru, pencegahan penyakit HFMD tidak memerlukan peruntukan khas untuk mengekang wabak terbabit, sebaliknya ia bergantung kepada asas penjagaan kebersihan itu sendiri.