Perak mohon selenggara Jalan Gerik- Jeli

Iklan
Saarani (kiri) pada sidang media selepas merasmikan projek Pelancongan Warisan Ipoh di Padang Ipoh di sini pada Sabtu.

IPOH - Kerajaan Perak sudah mengemukakan permohonan bagi penyelenggaraan Jalan Raya Timur-Barat ekoran rungutan pengguna terhadap keadaan jalan utama yang menghubungkan Gerik ke Jeli, Kelantan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat antara Ketua-Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Besar bersama Perdana Menteri, dua bulan lalu.

Iklan
Iklan

"Kita menyedari perkara ini dan sudah membangkitkan dalam mesyuarat itu berasaskan daripada rungutan orang ramai termasuk beberapa kejadian kemalangan jalan raya.

"Kita sudah membuat permohonan dan mengikut perjumpaan itu, perkara berkenaan sudah diambil kira dan akan ada peruntukkan diturunkan untuk membaiki atau menyelenggara jalan itu," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek Pelancongan Warisan Ipoh di Padang Ipoh di sini pada Sabtu.

Menurutnya, jalan terbabit merupakan Jalan Persekutuan yang mana peruntukkan untuk penyelenggaraan disediakan oleh kerajaan pusat.

Iklan

"Kita bagaimanapun sentiasa melakukan 'follow up' supaya mereka dapat beri perhatian terhadap permohonan kita terutama Jalan Gerik - Jeli ini.

"Kita masih belum menerima maklum balas lanjut akan perkara ini namun Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri akan terus memantau dari semasa ke semasa," katanya.

Isnin lalu, pasangan suami isteri dilaporkan maut manakala dua anaknya berusia 14 dan 18 tahun terselamat dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 76, Jalan Gerik - Jeli di Gerik.

Jalan Persekutuan sejauh 123km itu melibatkan 61km di Perak manakala selebihnya di Kelantan telah memudahkan perhubungan darat antara pantai timur dengan pantai barat Semenanjung Malaysia.