Malaysia bakal ada paras kemiskinan baharu: Mustapa

Iklan
Mustapa (tengah) bergambar bersama pengamal media yang hadir pada Taklimat Sosioekonomi kepada Media Negeri Kelantan pada Sabtu.

KOTA BHARU - Jabatan Perangkaan Malaysia sedang melakukan soal selidik terhadap pendapatan dan perbelanjaan isi rumah di seluruh negara yang dijangka siap pada hujung tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, apabila soal selidik tersebut siap, negara akan memiliki paras kemiskinan dan pendapatan yang baharu bagi B40, T20 dan M40.

Iklan
Iklan

Menurutnya, soal selidik itu perlu dilakukan dalam jangka panjang kerana pendapatan turun naik lebih-lebih lagi semasa pandemik dan mahu angka pendapatan yang benar-benar mencerminkan keadaan semasa.

"Dua hingga tiga tahun sekali kita akan lihat semula dan yang digunakan sekarang adalah soal selidik tahun 2019. Tidak adil jika semua dibuat semasa Covid-19 dan kini fasa endemik, rakyat sudah bekerja serta pendapatan pun sudah meningkat.

Iklan

"Sekarang sedang dilakukan soal selidik pendapatan dan perbelanjaan isi rumah di seluruh negara. Apabila selesai hujung tahun ini, maka pada awal tahun depan kita akan ada paras kemiskinan yang baharu bagi B40, T20 serta M40,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Sosioekonomi kepada Media Negeri Kelantan di sini pada Sabtu.

Mustapa berkata, penetapan paras pendapatan yang baharu itu penting untuk kerajaan meneruskan pelaksanaan program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang melibatkan rakyat berpendapatan isi rumah RM1,200 sebulan.

Iklan

"Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) hasrat kita hendak hapus keseluruhan miskin tegar atau yang benar-benar miskin sehingga akhir tahun 2025.

"Setakat ini, angka pada pertengahan tahun lepas miskin tegar di Malaysia adalah 262,000 keluarga dan pada Februari lalu angka ini turun kepada 210,000 sehingga terkini, pada 15 April tahun ini turun kepada 195,664 keluarga serta angka itu dinamik atau berubah-ubah,” katanya.

Beliau berkata, daripada 195,664 keluarga miskin tegar di negara ini, sebanyak empat negeri mencatat jumlah tertinggi iaitu Sarawak dengan 58,611 keluarga, Sabah (31,598 keluarga), Kelantan (28,553 keluarga) dan Kedah (15,964 keluarga).

"Angka yang turun sebanyak 70,000 keluarga itu sebahagiannya adalah kerana dibuat pemutihan dan sebahagian lagi apabila ekonomi dibuka semula ada perkembangan ekonomi dan mereka dapat kerja membolehkan mereka keluar dari kelompok miskin tegar.

"Program basmi miskin tegar ini yang baiknya kita fokus kepada golongan bawah, kita semak dan pergi ke setiap keluarga dan dapat gambaran yang lebih jelas mengenai sesebuah keluarga itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, bagi fasa fatu BMTKM sebanyak 80 lokaliti di seluruh negara telah dikenal pasti dengan kira-kira 50 keluarga dalam setiap lokaliti akan menerima manfaat menerusi program tersebut.

"Apabila kami pergi ke bawah, kami mendapati ada keluarga Malaysia yang hidup keadaan terhimpit serta masih lagi daif.

"Jadi, kami mahu keluarkan mereka daripada keadaan miskin tegar itu,” katanya.