Dr Afifi diperkenan lepas gelaran

Iklan
Dr Afifi al-Akiti

IPOH - [DIKEMAS KINI] Orang Besar Delapan Negeri Perak, Datuk Dr Afifi al-Akiti memohon perkenan Sultan Perak untuk berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayop Hashim dalam satu kenyataan memaklumkan, warkah perkenan mengundur diri bertarikh 15 Mei itu telah diangkat sembah untuk pertimbangan baginda Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, baginda berkenan menerima permohonan tersebut untuk dikuatkuasakan 15 Mei 2022.

"Baginda turut menzahirkan perhargaan atas segala khidmat yang diberikan beliau dalam tempoh menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan," katanya.

Iklan

Dalam warkah berkenaan, Dr Afifi menjelaskan, bahan-bahan yang ditularkan di media sosial sejak dua minggu lalu bertujuan mencemarkan nama beliau dan dilihat mempertikaikan kesesuaian peranan beliau dengan institusi istana dalam hal ehwal agama Islam.

Justeru katanya, warkah berundur diri daripada menyandang gelaran itu disampaikan sebagai menginsafi perkara itu jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan darjat kemuliaan Raja Pemerintah dan institusi istana.

Iklan

"Keputusan ini, saya lakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia seorang rakyat kepada sultannya, demi melindungi darjat kemuliaan baginda sultan tidak dicacatkan, begitu juga untuk mengelak institusi istana daripada dicemari.

"Saya memilih tidak mahu mengulas atau memberi sebarang jawapan (berhubung isu tular) yang boleh mencetuskan berdebatan berpanjangan yang tidak memberikan sebarang manfaat," jelasnya dalam warkah itu.

Pada 2 Mei lalu, pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Zaharin Mohd Yasin telah memuat naik tangkapan layar daripada video berdurasi tiga minit 24 saat itu memaparkan imej seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya dengan memakai topi yang diapit oleh dua orang wanita di sebuah kelab malam.

Lelaki berkenaan didakwa merupakan salah seorang penasihat dalam Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam.