TAIPING - Reman pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Kuala Kangsar Khamis lalu disambung tiga hari lagi.
Tempoh tahanan reman terhadap suspek berusia 28 tahun yang tamat pada Ahad dilanjutkan sehingga Rabu ini.
Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret Taiping di sini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, suspek dijangka didakwa dalam masa terdekat setelah kertas siasatan kes berkenaan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
"Reman diperoleh selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu ini.
"Suspek akan didakwa sama ada petang Selasa atau pagi Rabu," katanya ringkas ketika dihubungi di sini.
Dalam kejadian sekitar jam 12.52 tengah malam itu, kesemua mangsa rentung setelah kereta jenis Honda City dinaiki mereka terbakar selepas terlibat kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.
Mangsa dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.
Dalam kejadian tersebut, pemandu treler berusia 28 dan 37 tahun tidak cedera.