PEKAN - Tiga beranak maut termasuk dua kanak-kanak berusia 2 tahun dan 8 tahun, selepas kenderaan mereka terlibat bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 55, Jalan Nenasi-Rompin, dekat Kampung Badong, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, kemalangan yang berlaku jam 9.45 pagi membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dari arah Kuantan menghala ke Rompin dan lori membawa muatan ais kiub dari arah bertentangan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati pihaknya tidak menolak kemungkinan MPV berkenaan terbabas sebelum melanggar lori berkenaan hingga mengakibatkan MPV itu terjunam ke parit di bahagian kiri bahu jalan.
"Kenderaan MPV itu dipandu Kamaruddin Mohd Zin, 33, berasal dari Kampung Betong, Ajil, Terengganu.
"Akibat kemalangan itu, tiga penumpang MPV berkenaan tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia ialah isteri kepada pemandu MPV terbabit, Nor Hasidah Asbullah, 32, dan dua anak mereka, Muhammad Iffat Rizqi berusia dua tahun dan Nur Auni Athirah, 8 tahun.
"Manakala seorang lagi anak mereka, Nur Syadni Syakirah, 3 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Kuantan.
"Pemandu MPV dan kelindan lori ais kiub turut cedera dan dirawat di hospital sama," katanya.
Amran berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan bedah siasat terhadap semua mangsa yang maut akan dijalankan di Hospital Rompin jam 4 petang ini bagi mengetahui punca kematian.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul ketika dihubungi memaklumkan pihaknya menerima laporan kemalangan itu kira-kira jam 10 pagi dan sebuah jentera bersama lima pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Pegawai dan anggota JBPM Pahang berjaya mengeluarkan pemandu MPV terbabit yang tersepit dalam kenderaan itu kira-kira jam 11 pagi tadi dan semua mangsa dihantar ke Hospital Rompin bagi mendapatkan rawatan susulan," katanya.